X

Kindly register in order to view this article
!

Gelar Hamas kumpulan militan: Editor berita dipanggil beri penjelasan

Kenyataan akhbar oleh Saifuddin pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah memanggil Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin, TV2, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) bagi meminta penjelasan mengenai isu berkaitan pelaporan berita serangan Israel kepada Palestin.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, siasatan dan tindakan segera itu diambil selepas laporan berita stesen TV tersebut didapati menggunakan istilah yang tidak tepat bagi merujuk kepada kumpulan pejuang rakyat Palestin iaitu Hamas.

“Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin yang terlibat telah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan laporan lengkap. Pegawai terlibat juga telah dikenakan Surat Tunjuk Sebab (STS) dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan oleh pihak pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Semalam, tular di media sosial mengenai laporan berita di siaran TV berbahasa Mandarin yang menggunakan istilah militan sebagai merujuk kepada kumpulan pejuang Palestin iaitu Hamas.

Saifuddin berkata, permohonan maaf dalam siaran berita untuk pembetulan juga telah disiarkan melalui Berita Tengah Hari pada pukul 1 tengah hari dan Berita Mandarin pada pukul 7 malam pada hari yang sama iaitu 12 Mei 2021.

Menurutnya, Seksyen Berita Hal Ehwal Semasa telah diminta untuk mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) tugasan Bilik Berita khususnya dalam penyuntingan berita TV bagi memastikan kesilapan serupa tidak berulang pada masa akan datang.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa RTM peka mengenai situasi yang berlaku dan sentiasa teguh menyokong pendirian Malaysia dan aspirasi rakyat berhubung konflik yang melanda dan pada masa sama turut mendukung kedaulatan serta kebebasan Palestin.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!