PDRM kemas kini sistem permohonan rentas negeri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan sesuatu kepada pemandu yang melintasi Sekatan Jalan Raya (SJR) Tol USJ pada Lawatan dan Penyampaian Sumbangan Raya kepada Petugas SJR malam tadi. -Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan sesuatu kepada pemandu yang melintasi Sekatan Jalan Raya (SJR) Tol USJ pada Lawatan dan Penyampaian Sumbangan Raya kepada Petugas SJR malam tadi. -Foto Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemaskini sistem permohonan rentas negeri bagi menggelakkan pemalsuan dokumen pada masa akan datang.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata ini kerana PDRM telah mengesan beberapa taktik pemalsuan dokumen rentas negeri sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan ini.

Beliau berkata PDRM akan menambah baik sistem berkenaan kerana orang awam akan cuba mencari jalan untuk mengatasi sistem rentas negeri yang sedia ada ini.

"PDRM akan sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki sistem yang sedia ada ini (permohonan rentas negeri) bagi mengelakkan ia berterusan berlaku.

"Adalah lumrah untuk mereka (orang awam) melakukan perkara sedemikian (memalsukan dokumen) tetapi PDRM akan berusaha untuk mengatasi kelemahan yang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menyertai lawatan dan sumbangan raya Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada petugas sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol USJ Subang, di sini, tengah malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai taktik orang awam memalsukan dokumen rentas negeri dalam tempoh PKP ini.

Mengenai jumlah permohonan rentas negeri yang ditolak di seluruh negara setakat 12 Mei, Acryl Sani berkata PDRM telah menolak sebanyak 2,730 permohonan berkenaan yang dikemukakan atas pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Sementara itu, Ismail Sabri yang turut serta dalam lawatan berkenaan, meminta orang awam agar terus mematuhi PKP dan tidak merentas negeri atau daerah.

"Saya melawat SJR di Plaza Tol Eco Majesctic dan Plaza Tol USJ Subang dan mendapati tidak banyak kereta pada malam Aidilfitri (malam tadi) seperti yang disangkakan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya percaya semua orang telah berada di rumah dan tidak bersesak di jalan raya. Saya berharap keadaan ini menggambarkan bahawa rakyat mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan iaitu tidak melakukan perjalanan merentas daerah dan negeri,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang. - Bernama