Premis tampal notis 'tutup kedai' kantoi jual pelacur

Pelanggan diarahkan menggunakan pintu belakang premis bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Pelanggan diarahkan menggunakan pintu belakang premis bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Taktik sindiket pelacuran menampal notis 'premis ditutup dan tidak beroperasi' di pintu sebuah premis untuk mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila ia diserbu polis pada malam Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra'ais berkata, serbuan dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang selepas menerima maklumat berhubung kegiatan tersebut.

Menurutnya, serbuan dibuat pada jam 9.15 malam ke atas sebuah rumah kedai di kawasan Persiaran Midland di sini.

"Siasatan awal mendapati, premis tersebut merupakan pusat spa sebelum ini, namun kini menjalankan kegiatan pelacuran dan perkhidmatan mengurut. Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang merupakan penjaga premis.

"Turut ditahan empat pekerja wanita warga asing berusia antara 26 hingga 30 tahun. Pemeriksaan mendapati penjaga premis gagal menunjukkan sebarang lesen perniagaan dan kesemua pekerja tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rahimi berkata, polis turut mengeluarkan kompaun kepada empat lelaki yang merupakan pelanggan di premis berkenaan kerana tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran.

"Siasatan awal mendapati, sindiket ini beroperasi dengan mengiklankan gambar-gambar mangsa menggunakan aplikasi WeChat yang diuruskan oleh penjaga premis kepada pelanggan yang inginkan perkhidmatan seks dan urut.

"Premis tersebut dipercayai telah beroperasi hampir sebulan dengan menyasarkan warga tempatan dan warga asing. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sindiket ini menutup pintu hadapan premis dan menampal notis penutupan kononnya premis itu tidak beroperasi.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, pelanggan akan diarahkan masuk ke dalam premis tersebut melalui pintu belakang," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan, 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 24 Undang-undang Kecil (UUKK).