Guna pas kerja untuk balik kampung

Abd Rahim menyemak dokumen yang dikemukakan pengguna jalan raya ketika melakukan pemeriksaan di SJR Tanjung Lumpur pada Isnin.
Abd Rahim menyemak dokumen yang dikemukakan pengguna jalan raya ketika melakukan pemeriksaan di SJR Tanjung Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Penyalahgunaan pas kerja antara taktik yang digunakan oleh segelintir individu untuk merentas negeri bagi tujuan menyambut Aidilfitri di kampung.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, perkara itu dikesan selepas pemeriksaan secara terperinci dilakukan ke atas dokumen yang dikemukakan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 1,333 buah kenderaan diarahkan berpatah balik atas pelbagai alasan tidak munasabah.

"Kita terpaksa memeriksa satu persatu kenderaan kerana ada cubaan daripada individu tertentu untuk melepasi SJR dengan pelbagai taktik. Misalnya, mereka tiada dokumen perjalanan sah (iaitu kebenaran pihak polis) dan beberapa borang yang tidak diisi dengan tepat.

"Ada juga beberapa individu yang cuba menggunakan pas kerja atau surat majikan untuk merentas negeri sedangkan tujuannya adalah pulang ke kampung dengan harapan pihak polis membenarkan mereka merentas negeri, tetapi mereka gagal untuk merentas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memeriksa SJR di Tanjung Lumpur pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Abd Rahim berkata, SJR ini dilakukan bagi memastikan tiada individu menyalahguna atau mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, masyarakat seolah-oleh lupa bahawa SJR ini dilaksanakan bukan untuk menyusahkan mereka, sebaliknya mahu menyekat penularan jangkitan Covid-19.

"Sebanyak 361 SJR di seluruh negara telah dibuka dan memantau keluar masuk kenderaan merentas negeri membabitkan 6,579 anggota," katanya.