FAM akui pengadil buat silap

Insiden jaringan Shukor Adan yang menggunakan tangan ketika KL City bertemu UiTM FC.
Insiden jaringan Shukor Adan yang menggunakan tangan ketika KL City bertemu UiTM FC.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengambil tindakan sewajarnya kepada semua pegawai perlawanan yang bertugas pada perlawanan Liga Super membabitkan UiTM FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, tindakan itu susulan pegawai perlawanan membenarkan gol jaringan penyamaan menggunakan tangan yang dilakukan oleh pemain KL City FC, Shukor Adan pada minit akhir perlawanan tersebut.

"FAM melalui Jawatankuasa Penilaian Pengadil mendapati pengadil perlawanan gagal mengesan kesalahan memainkan bola dengan menggunakan tangan oleh Shukor dan seterusnya mengesahkan jaringan tersebut.

"Suasana padat dalam kawasan penalti di samping dengan kehadiran penjaga gol Kuala Lumpur City FC, ditambah dengan kepantasan bola dan pada sekali imbas kelihatan seperti bola mengenai kepala pemain pertahanan UiTM FC menjadikan situasi ini agar sukar bagi seseorang pengadil melakukan keputusan.

"Persatuan melalui unit pengadil sentiasa tekankan aspek posisi pengadil yang melibatkan jarak dan sudut pandangan, jangkaan fasa permainan dan 'dropping zone' bagi bola aerial, fokus dalam perlawanan terutama minit-minit terakhir serta kerjasama antara kesemua pegawai perlawanan agar dapat memberikan keputusan yang sewajarnya akan tindakan-tindakan pemain dalam perlawanan.

"Ternyata dalam situasi ini kesemua pegawai perlawanan kurang menitik beratkan aspirasi yang telah digariskan dalam memberikan satu keputusan yang tepat.

"Justeru, tindakan yang sewajarnya akan dikenakan kepada semua pegawai perlawanan yang bertugas pada perlawanan tersebut kerana kealpaan mereka dalam mengesan kesalahan memainkan bola dengan tangan sehingga mengubah keputusan perlawanan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai tiga insiden membabitkan perlawanan Penang FC menentang Johor Darul Ta'zim FC di Stadium Bandaraya pada Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bagi insiden pertama, pengadil perlawanan telah bertindak untuk membatalkan jaringan Penang FC pada minit ke-78 kerana tindakan pemain Penang FC, Sheriddin Boboev menolak penjaga gol JDT dengan badan beliau.

"Pengadil dapat mengesan tindakan pemain ini dari awal pergerakan dia di mana sebelum sepakan penjuru dilakukan, pemain ini telah menghampiri penjaga gol JDT dan semasa bola berada di udara, pemain ini telah mengasak secara berterusan kepada penjaga gol tersebut dan menolak penjaga gol tersebut dengan badan beliau semasa penjaga gol melompat untuk mencabar bola di udara," katanya.

Sementara itu, bagi insiden kedua membabitkan perlawanan yang sama, Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, pengadil perlawanan telah perintah keluar pemain Penang FC iaitu Casagrande kerana mendapat kad kuning yang kedua.

"Pemain tersebut telah mendapat kad kuning yang pertama pada minit ke-78 kerana membantah keputusan pengadil membatalkan jaringan Penang FC.

"Selepas daripada insiden tersebut, pemain ini telah secara berterusan mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan ditujukan kepada penolong pengadil satu dan penolong pengadil dua.

"Walaupun telah cuba ditegur oleh pengadil agar pemain tersebut tidak mengulangi tindakan itu beliau sekali lagi mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada pengadil pada minit ke-88 dan telah dilayangkan kad kuning kedua," katanya.

Bagi insiden ketiga dalam perlawanan tersebut, beliau menjelaskan bahawa pengadil perlawanan telah melayangkan kad merah kepada Ketua Jurulatih Penang FC, Tomas Trucha kerana telah memasuki padang permainan dan membantah keputusan pengadil.