Setiausaha politik menteri lapor polis dakwaan Sarawak Report

Syed Hamzah (kanan) bersama Zamri ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.
Syed Hamzah (kanan) bersama Zamri ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie menafikan dakwaan portal Sarawak Report serta Malaysia Chronicle yang menuduhnya terlibat meluluskan geran kepada syarikat milik isterinya, Azzahra Product Sdn Bhd.

Syed Hamzah menjelaskan, fakta yang dibuat portal terbabit adalah semborono dan ganas menuduh dirinya.

Menurutnya, geran berjumlah RM338,950 yang diluluskan kepada syarikat isterinya tiada kaitan dengan menteri MEDAC, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan dirinya selaku Setiausaha Politik menteri berkenaan.

"Geran itu telah diluluskan SME Corp pada 10 Oktober 2017 dan menteri (Wan Junaidi) serta saya sendiri mula berkhidmat di MEDAC pada 22 April 2020.

"Bagaimana mungkin saya dan menteri terlibat dengan kelulusan geran pada empat tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada Isnin.

Tambah Syed Hamzah, beliau juga mengesahkan telah meletak jawatan sebagai pengarah syarikat dan melupuskan sahamnya di dalam syarikat Azzahra Product Sdn Bhd pada 23 November 2015.

Katanya, ini bermakna beliau sudah tiada lagi memiliki apa-apa saham dan kepentingan dalam syarikat terbabit sehingga sekarang.

"Untuk itu, saya telah membuat laporan di IPD Dang Wangi terhadap editor dan pemilik dua portal terbabit. Semua dokumen berkaitan juga telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam Zamri Idrus berkata, dakwaan portal itu jelas tidak benar dan cuba memanipulasi keadaan.

"Kita mahu portal itu menarik semula kenyataan yang dikeluarkan dan membuat permohonan maaf," katanya.