Kahwin luar negara punca lewat daftar sijil lahir

Mohammad Razin menyampaikan Mykid kepada keluarga penerima dalam program hari ini.
Mohammad Razin menyampaikan Mykid kepada keluarga penerima dalam program hari ini.
A
A
A

BALING - Faktor kahwin di luar negara tanpa mengikut prosedur sah antara faktor ibu bapa lewat mendaftar sijil kelahiran anak mereka hingga timbulkan pelbagai kerumitan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, terdapat juga kes pasangan tidak berkahwin tetapi mempunyai anak, menyebabkan pasangan tidak melakukan pendaftaran kelahiran.

"Bila mereka tidak lalui proses perkahwinan yang sah, contohnya kahwin di Thailand, ataupun kes tak berkahwin langsung.

"Jadi mereka tidak akan daftar anak-anak mereka..mungkin anak itu tidak dapat di bin pada bapanya ataupun faktor-faktor lain yang menyebabkan mereka berasa seperti dipinggirkan,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Mekar dan Temu Mesra JPN bersama rakyat serta majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri kepada penama di Kampung Keda Ulu Legong, hari ini.

Tambahnya, sepanjang 2018 sebanyak 12,547 jumlah kes lewat daftar kelahiran telah direkodkan JPN.

"Daripada jumlah itu, 9,432 telah diluluskan, 317 permohonan ditolak dan 2,798 masih dalam proses," katanya.

Beliau berkata, masalah boleh diatasi sekiranya pasangan berkahwin mendapatkan pengesahan dan kelulusan daripada jabatan agama terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Bila jabatan agama sudah luluskan, mahkamah Syariah juga luluskan. Tiada masalah.

"Sebahagian besar lagi disebabkan faktor-faktor geografi khususnya kawasan Sabah dan Serawak. Mereka tiada akses untuk ke Pejabat JPN.

"Bagi mereka di kawasan pedalaman, perlu keluarkan kos belanja untuk naik bot, sewa kereta untuk ke pejabat..kena bermalam,kadang-kadang memakan masa dua atau tiga hari,"katanya.

Faktor lain berlaku kes kelewatan daftar kelahiran berpunca daripada kelalaian ibu bapa sendiri.

"Tidak nafi juga sebab kecuaian. Sikap ibu bapa yang tidak memandang kepentingan..(daftar kelahiran).

"Dia tidak rasa lagi kepentingan itu, bila anak sudah masuk sekolah baru dia kelam kabut,"katanya.

Mohammad Razin berkata, bagi memudahkan rakyat Malaysia membuat pendaftaran kelahiran, JPN telah meminda peruntukan akta daripada 14 hari kepada 60 hari bagi tempoh mendaftar.

"Itu pun kita baru ubah, dulu 14 hari. Tetapi kita bagi kemudahan dengan lanjutkan sampai 60 hari untuk semenanjung. Sabah dan Serawak belum lagi," katanya.

Dalam pada itu katanya, kes lewat daftar MyKad dicatatkan bagi tempoh tahun lalu ialah 4,232 kes dengan Sabah dan Sarawak paling tinggi bagi kes dilaporkan.