X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Lelaki maut digilis pacuan empat roda

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 28 Jalan Lahad Datu-Tawau, Lahad Datu.
A
A

LAHAD DATU - Seorang penunggang motosikal maut digilis pacuan empat roda dalam kemalangan di Kilometer 28 Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini, petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah berkata, kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Kawasaki Z800 yang ditunggang mangsa dengan dua kenderaan lain iaitu motosikal jenis Honda dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa ketika kejadian telah memperlahankan motosikal kerana kenderaan di hadapan memperlahankan kenderaannya secara mengejut.

"Bagaimanapun, tiba-tiba datang sebuah motosikal lain yang ditunggang seorang lelaki berusia 37 tahun dari arah belakang dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar ekzos motosikal mangsa.

"Akibat kejadian itu, mangsa hilang imbangan dan terjatuh tepat di bawah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki 40 tahun yang datang dari laluan bertentangan sebelum digilis tayar belakang kenderaan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Rohan berkata, akibat kejadian itu mangsa cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Punca kejadian dipercayai daripada kecuaian penunggang mengawal motosikal dengan baik sehingga berlaku kemalangan.

"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Rohan turut meminta individu yang menyaksikan kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Rasul di talian 089-881255.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!