X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

PH umum jawatankuasa baharu

Gambar dari kiri: Datuk Dr Hatta Ramli, Anthony Loke Siew Fook, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) mengumumkan penubuhan jawatankuasa baharu sebagai langkah memperkukuh gerak kerja parti tersebut.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan bersama berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan bertindak meneliti dan menyediakan dasar parti.

Kenyataan bersama itu diwakili Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Kenyataan itu menyebut antara jawatankuasa yang ditubuhkan ialah pendidikan, kesihatan, ekonomi, keselamatan, gender, belia, kos sara hidup, perundangan dan mobilitasi.

“Selain Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan, pengerusi bagi jawatankuasa lain akan diumumkan selepas mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut.

“Keanggotaan jawatankuasa juga boleh dikembangkan untuk melibatkan pakar atau mana-mana pihak yang difikir sesuai dengan bidang tanggungjawab jawatankuasa tersebut," kata kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan bersama itu turut memaklumkan pada masa yang sama, jawatankuasa baharu akan diumumkan dari masa ke masa.

Kenyataan media Majlis Setiausaha PH.
Kenyataan media Majlis Setiausaha PH.

Mengulas lanjut, tindakan penubuhan jawatankuasa berkenaan susulan kelemahan pemerintah yang tidak mampu memimpin negara dan rakyat berharap satu perubahan besar dilakukan.

“Dari segi politik, kerajaan ini kekal sebagai kerajaan minoriti yang tidak stabil. Ekonomi negara terus muram dan lesu dengan timbunan hutang, kehilangan pelabur asing, angka pengangguran yang terus meningkat.

“Dari segi kesihatan awam kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 semakin ketara jika dilihat program vaksinasi lembab dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terurus," kata kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan tidak puas hati terhadap kompaun yang keterlaluan, amalan budaya ‘antara dua darjat’ berleluasa, prosedur operasi standard (SOP) mengelirukan dan kegagalan darurat mengawal penularan pandemik,”


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!