Mengapa sikap rasis menjadi-jadi, tanya Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan mengapa di zaman kerajaan PH, semakin menjadi-jadi sikap rasis dan tindakan penghinaan terhadap Islam.

Malah dakwanya, sekiranya kesalahan itu dilakukan terhadap bangsa tertentu pasti tindakan segera dilakukan oleh penguat kuasa.

“Rakyat tentunya tertanya-tanya kenapakah di zaman kerajaan PH yang kononnya peneraju Malaysia Baharu kini, makin menjadi-jadi sikap rasis dan tindakan penghinaan kepada Islam? Semacam ada dua piawai yang berbeza diguna pakai.

“Apabila orang Melayu-Islam dituduh rasis begitu pantas sekali tindakan diambil. Sedangkan beberapa kes sebelum ini yang menyaksikan kebiadaban segelintir individu seperti Foo Sin Wei ini begitu lambat tindakan diambil walaupun berpuluh laporan polis dibuat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berharap kerajaan tidak bersikap pilih kasih terhadap sesiapa yang memainkan sentimen perkauman dan penghinaan terhadap mana-mana agama sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam.

Asyraf Wajdi turut mendesak polis agar segera bertindak terhadap pemilik laman sosial Facebook, Foo Sing Wai yang secara biadab menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW melalui beberapa status yang dimuat naik.

“Foo Sing Wai yang juga penyokong tegar Pakatan Harapan nampaknya begitu angkuh walaupun sebelum ini dikritik oleh pelbagai pihak di kalangan warga netizen di laman Facebook beliau,” katanya.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini menggesa semua pihak lebih bertanggungjawab dan saling menjaga sensitiviti agama serta bangsa lain.

Artikel Berkaitan: