Polis kawal ketat 30 laluan tikus di PKPD Bunut Susu

Shafien (kanan) bersama Mohd Nasaruddin (kiri) meninjau laluan tikus yang ditutup di PKPD Bunut Susu.
Shafien (kanan) bersama Mohd Nasaruddin (kiri) meninjau laluan tikus yang ditutup di PKPD Bunut Susu.
A
A
A

PASIR MAS - Polis Kelantan mengawal ketat 30 laluan tikus yang terdapat di Mukim Bunut Susu di sini berkuat kuasa serta-merta selari dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam usaha mengelakkan penularan Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua laluan tersebut bukan sahaja ditutup malah dikawal rapi oleh pihaknya dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) dalam mengekang pembolosan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk keluar dari kawalan berkenaan.

"Polis Kelantan telah menempatkan seramai 117 anggota keselamatan untuk mengawal pergerakan keluar masuk kira-kira 1,800 penduduk melibatkan 500 keluarga," katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau penugasan anggota pasukan keselamatan di PKPD Bunut Susu pada malam Sabtu.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.

Menurutnya, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang dikesan melanggar peraturan PKPD.

Beliau berkata, pasukan keselamatan berharap penduduk setempat dapat memberikan kerjasama dengan mematuhi segala arahan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik ini.

Shafien berkata, pada masa yang sama pihaknya berharap penduduk setempat dapat memberi kerjasama kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dengan melakukan ujian calitan Covid-19.

Katanya, hal ini kerana sehingga Sabtu polis dimaklumkan penduduk yang tampil melakukan ujian calitan tidak sampai 50 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Jika penduduk memberikan kerjasama penuh, Insya-ALLAH PKPD ini dapat ditamatkan secepat mungkin.

"Saya berharap ketua kampung dapat memberikan kerjasama untuk memujuk dan memberi kesedaran kepada penduduk pentingnya melakukan ujian calitan," katanya.

PKPD di Bunut Susu bermula pada Ahad sehingga 17 Mei yang melibatkan tiga kampung iaitu Tualang, Bechah Palas dan Paya Ular.