X

Kindly register in order to view this article
!

Hasil jualan peniaga merudum

Jumlah pengunjung dibenarkan masuk dalam Kompleks PKNS, Shah Alam dihadkan ketika tinjauan pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Peniaga di bazar Aidilfitri mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan menjejaskan hasil jualan mereka.

Ramai peniaga buntu dan mengeluh kerana masih belum balik modal sehingga kini terpaksa menanggung kerugian akibat kekurangan pelanggan.

Peniaga di Kompleks PKNS, Nurul Fatihah Abd Ghani, 21, berkata, keadaan PKP menyukarkan pihaknya mendapatkan hasil jualan secara konsisten kerana bilangan pengunjung yang semakin berkurangan pada hujung Ramadan.

“Bayangkan hasil jualan saya jatuh merudum di bawah RM1,000 sehari sekarang ini.

“Dulu sebelum PKP dilaksanakan, ramai pengunjung datang ke sini pada hujung minggu.

“Saya harap keadaan kembali seperti biasa sebab kami terkesan dengan PKP ini bila tak boleh berniaga seperti dulu,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, peniaga kuih raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Auni Abd Halim, 18, berkata, biasanya Jalan TAR akan dipenuhi orang ramai terutama pada hujung Ramadan bagi membeli kelengkapan perayaan.

“Saya sudah berniaga di sini lebih kurang tiga tahun. Memang selalu ketika hujung Ramadan orang akan ramai. Tapi sebaliknya berlaku tahun ini disebabkan PKP 9,” katanya.

Peniaga baju Melayu, Zin Ashraf Mohd Zaihan, 26, pula berkata, hasil jualan cukup terkesan memandangkan rata-rata pelanggannya adalah dari luar Kuala Lumpur.

“Waktu awal dahulu, ramai pengunjung sebab masih boleh merentas daerah dan waktu beroperasi ketika itu pun panjang.

“Sekarang kita kena beroperasi setakat jam 10 malam sahaja, memang kurang pelanggan,” katanya.

Di KELANTAN, jurujual butik pakaian, Aida Deraman, 36, berkata, dia kini mengharapkan jualan atas talian berikutan kekurangan pengunjung.

“Biasanya sebelum Ramadan, orang luar sudah datang membeli baju. Kali ini harapkan jualan atas talian sahaja.

“Persiapan raya sudah tak meriah seperti dulu,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!