GAPP cadang kaunseling kepada pemandu bas

Ekoran pandemik Covid-19, pengusaha bas persiaran tidak memperoleh sebarang pendapatan. Gambar hiasan
Ekoran pandemik Covid-19, pengusaha bas persiaran tidak memperoleh sebarang pendapatan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP) mencadangkan pemandu bas persiaran diberikan khidmat kaunseling bagi membantu mereka mengurus tekanan psikologi dan emosi setelah hilang punca pendapatan lebih setahun akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden GAPP Wan Shairi Wan Ahmad berkata, sejak 2019 ramai pengusaha bas persiaran membeli bas baharu sebagai persediaan dan untuk menyokong usaha kerajaan dalam inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Secara purata hutang yang ditanggung untuk sebuah bas persiaran baharu ialah antara RM8,000 hingga RM12,000 sebulan. Ada juga pengusaha bas persiaran yang membeli lebih dari sebuah bas ketika itu. Namun, ekoran pandemik Covid-19 pengusaha bas persiaran tidak memperoleh sebarang pendapatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam talian sempena penyampaian bantuan khas kepada pemandu bas persiaran yang terkesan akibat pandemik Covid-19 anjuran Majlis Pelancongan Malaysia, pada Sabtu.

Wan Shairi berkata, dalam tiga bulan kebelakangan ini, beliau mendapat maklumat empat pengusaha bas persiaran meninggal dunia dengan tiga dilaporkan akibat sakit jantung manakala seorang lagi terjun dari bangunan dan kesemua mereka merupakan penggiat industri pelancongan berpengalaman.

Menurutnya, setakat ini terdapat 6,404 bas persiaran di seluruh negara yang berdaftar dengan pihak berwajib.

Sementara itu, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Uzaidi Udanis berkata pihaknya berjaya mengumpul RM30,000 menerusi konsert amal secara dalam talian di platform Malaysia Virtual Experience yang dibangunkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia pada 30 April lepas untuk disalurkan kepada pemandu bas persiaran.

Beliau berkata penerima fasa pertama melibatkan 100 pemandu bas persiaran akan menerima RM300 seorang yang akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing mulai Isnin ini dan konsert amal itu akan diteruskan selepas sambutan Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Pada sesi dalam talian tersebut beberapa pemandu bas persiaran turut berkongsi pengalaman mengenai kesukaran mendapatkan kerja baharu kerana faktor usia sehingga menyebabkan ada yang berniaga sate dan bekerja sebagai penghantar barangan. - Bernama