Pegawai polis ada kaitan dengan Geng Nicky dibebaskan dengan jaminan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai penyiasat kanan polis yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Perkara itu dimaklumkan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Asisten Superintendan Baldev Singh Gurdial Singh, 36, ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Sementara itu, Peguam Persekutuan Muhammad Safuan Azhar berkata berikutan pembebasan itu, Baldev Singh akan menarik balik permohonan habeas corpus supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan SOSMA.

"Mahkamah menetapkan 11 Mei ini untuk pengurusan kes berhubung penarikan balik permohonan habeas corpus di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas pada Khamis.

Baldev Singh memfailkan permohonan habeas corpus pada 30 April lepas dengan menamakan Supt Amran Mohd Jusin (pegawai penyiasat) dan Ketua Polis Negara sebagai responden pertama dan kedua.

Berdasarkan afidavit sokongannya yang difailkan bersama permohonan itu, Baldev Singh mendakwa beliau ditahan pada 26 April lepas di ibu negara untuk siasatan melibatkan suatu kes jenayah di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan SOSMA.

Dalam permohonan itu, Baldev Singh mendakwa beliau tidak pernah terlibat dengan apa-apa kes berkaitan di bawah Seksyen 130V dan penahanannya di luar skop serta jangkaan seksyen berkenaan atau di bawah peruntukan SOSMA, selain penahanannya adalah tidak sah serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Semalam sebuah portal media melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu bahawa seorang pegawai polis, ASP Rahmat Fitri Abdullah yang ditahan di bawah SOSMA kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan Geng Nicky telah dibebaskan tiga hari lepas.

Artikel Berkaitan:

Rahmat Fitri kemudiannya menarik balik permohonan habeas corpus dan mahkamah membatalkan permohonan itu kerana ia bersifat akademik.

Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky, 33, merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas. - Bernama