Trump gesa tentera Venezuela bebaskan negara

No Image Caption
A
A
A

MIAMI - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa tentera Venezuela agar berhenti menyokong Presiden Nicolas Maduro.

Berucap di Miami, Trump berkata pihak yang berterusan memberi sokongan kepada kerajaan Maduro hanya mendatangkan risiko terhadap kehidupan dan masa depan mereka sendiri.

Ucapan tersebut merupakan antara usaha memujuk pegawai atasan Venezuela agar bertukar kesetiaan kepada pemimpin pembangkang Juan Guaido.

Sementara itu, Maduro yang enggan melepas jawatan mahupun mengadakan pilihan raya baharu meskipun menerima desakan antarabangsa, mengecam campur tangan asing dalam hal ehwal negaranya.

Puluhan negara lain, termasuk AS mengiktiraf Guaido yang juga ketua Himpunan Kebangsaan, sebagai pemangku presiden Venezuela.

Dalam perkembangan berkaitan, pembekal internet Venezuela dilapor menyekat sebuah laman sesawang di mana ratusan sukarelawan mendaftar bagi membantu usaha membawa masuk bantuan kemanusiaan ke dalam negara.

Kerajaan Venezuela turut dijadual mengadakan konsert di sempadan Colombia pada hujung minggu bagi 'menyaingi' sebuah konsert anjuran jutawan Richard Branson yang menyokong usaha bantuan kemanusiaan terbabit. - BBC

Artikel Berkaitan: