Rasuah Busters makin dikenali ramai

Dr G Manimaran
Dr G Manimaran
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Rasuah Busters kini makin dikenali ramai setelah hampir tiga bulan dilancarkan.

Ahli pasukan teras Rasuah Busters, Dr G Manimaran berkata, lebih daripada 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama dengan gerakan tersebut.

“Kita telah bekerjasama dengan Transparency International Malaysia (TI-M) yang mana ia sebuah NGO yang wujud lebih daripada 30 tahun. Mereka ada banyak pengalaman yang boleh dikongsikan dengan kita.

“Jadi, bila jalinan sinergi itu diwujudkan, saya rasa kita boleh menguatkan lagi kesedaran mengenai rasuah dalam kalangan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau yang juga pengamal media berkata, setelah melihat perkembangan tersebut ia secara tidak langsung dapat meyakinkan semua pihak bahawa gerakan Rasuah Busters boleh terus maju ke hadapan.

Menurut beliau, sekiranya 30 juta rakyat mengambil langkah memerangi rasuah, objektif Rasuah Busters dapat dicapai dalam waktu terdekat.

“Objektif kita ialah kita nak melahirkan negara yang betul-betul bersih daripada amalan rasuah.

“Malah, ada yang dah mula guna perkataan najis rasuah yang mana sebelum ini kita guna najis dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Manimaran berkata, rasuah boleh wujud dalam pelbagai bentuk.

“Jadi, untuk memutuskan rangkaian ini, kita perlu bekerjasama secara konsisten dan holistik. Ini penting untuk melahirkan satu persekitaran yang bersih daripada amalan rasuah, bebas dari segala ketirisan,” katanya.

Untuk perancangan jangka masa panjang, beliau berkata, gerakan Rasuah Busters mahu satukan rakyat dengan matlamat yang sama iaitu menjadikan sebuah negara yang dihormati pelbagai pihak, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga luar negara.

Antara NGO dan badan korporat yang memberi kerjasama menggerakkan Rasuah Busters di seluruh negara.
Antara NGO dan badan korporat yang memberi kerjasama menggerakkan Rasuah Busters di seluruh negara.