X

Kindly register in order to view this article
!

Polis tumpas Geng Nantha Kumar aktif samun, pecah rumah

Gambar hiasan
A
A

IPOH - Geng Nantha Kumar yang aktif dalam kegiatan samun berkumpulan dan pecah rumah sejak empat tahun lalu tumpas apabila tujuh anggota kumpulan itu berjaya ditahan dalam Op Fulica pada 9 April lalu.

Kesemua suspek ditahan menerusi risikan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 38 tahun itu ditahan dalam serbuan sekitar Ipoh, Sungai Siput dan Pulau Pinang.

"Kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah kekerasan dan dadah.

"Polis telah mengenal pasti tiga suspek lain termasuk dalangnya yang berada di Penjara Koreksional Johor atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, kumpulan itu terlibat dalam jenayah samun berkumpulan serta pecah rumah sejak 2017 sehingga 2020.

"Bagi membendung kumpulan ini daripada terus berleluasa, peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) telah dilaksanakan.

"Kesemua suspek direman selama 28 hari bermula 10 April sehingga Jumaat ini di bawah Seksyen 4(5) SOSMA dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 27 April lalu dan10 suspek termasuk tiga yang dipenjarakan itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!