Chin Tong kekal pimpin DAP Johor

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo ketika hadir bagi merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Johor 2021 di Restoran Grand Sea View, Batu Pahat hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo ketika hadir bagi merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Johor 2021 di Restoran Grand Sea View, Batu Pahat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong terus kekal menerajui kepimpinan negeri bagi penggal keempat berturut-turut menerusi pemilihan yang diadakan sempena Konvensyen Biasa DAP Johor 2021 pada Ahad.

Keputusan itu diumumkan oleh Speaker Konvensyen merangkap Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin selepas selesai mesyuarat tertutup membabitkan 15 ahli jawatankuasa baharu yang dilantik.

Selain Chin Tong, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Dr S Ramakrishnan turut mengekalkan jawatan masing-masing sebagai Timbalan Pengerusi dan Naib Pengerusi.

ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali, sebelum ini Setiausaha Publisiti, dilantik sebagai Naib Pengerusi manakala ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng sebagai setiausaha baharu sekali gus mengetepikan ADUN Skudai, Tan Hong Pin yang sebelum ini memegang jawatan tersebut, yang turut tidak tersenarai dalam barisan 15 ahli jawatankuasa baharu.

Mesyuarat sama juga menetapkan jawatan Bendahari disandang oleh ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng; Setiausaha Organisasi (Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi), Penolong Setiausaha Organisasi (Ho Bao Kheong), Setiausaha Publisiti ( ADUN Johor Jaya, Liew Cai Tung), Penolong Setiausaha Publisiti (Marina Ibrahim) dan Pengarah Pendidikan Politik Negeri (ADUN Senai, Alan Tee Boon Tsong).

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin; bekas Pengerusi DAP Johor, Boo Cheng Hau; Lim Eng Guan, ADUN Bentayan, Ng Yak Howe, ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan ADUN Jementah, Tan Chen Choon dan M Kannan pula dipilih sebagai ahli jawatankuasa biasa.

Selain itu, jawatankuasa bersetuju melantik Boon Sin Wei sebagai Setiausaha Kerja dan Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong sebagai Ketua Biro Guaman.

Pemilihan itu turut menyaksikan lima calon wanita berjaya memperoleh undi tinggi daripada 1,024 perwakilan yang hadir.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu sekali gus melayakkan kesemuanya terpilih ke dalam senarai barisan 15 jawatankuasa negeri baharu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dengan 631 undi, Ahli Parlimen Pulai, Teo Nie Ching (577); Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi (555); ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung (553) dan ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng (539). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!