Banjir: Sebuah PPS dibuka tempatkan 24 mangsa

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Seramai 24 orang penduduk daripada sembilan keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Chikus Langkap, daerah Hilir Perak selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir di kawasan Kampung Sungai Rambai petang Ahad.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian banjir pada kira-kira jam 3 petang, selepas rumah penduduk di tiga kampung sekitar kawasan berkenaan dinaiki air.

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, kejadian berlaku ekoran limpahan dari Sungai Batang Padang, yang mengakibatkan kawasan sekitar Parit 3 dan Kampung Batu Pecah, Chikus serta Kampung Belakang Kedai, Degong, dinaiki air.

Menurutnya, PPS itu dibuka bagi menempatkan mangsa yang terdiri daripada 10 lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa dan lima kanak-kanak lelaki.

Katanya, seramai 22 anggota dari pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat ditempatkan di lokasi kejadian serta PPS berkenaan bagi kerja-kerja pemantauan dan keselamatan.

Beliau berkata, aras air Sungai Batang Padang di Labu Kubong mencecah bacaan amaran iaitu 14.50 meter pada setakat jam 4.15 petang tadi dan cuaca masih hujan. - Bernama

Artikel Berkaitan: