Zahirkan sokongan terhadap Hijau Kuning menerusi atas talian

Mohd Firdaus Ahmad
Mohd Firdaus Ahmad
A
A
A

BIARPUN tidak dibenarkan hadir ke Stadium Darul Aman bagi menyaksikan aksi Kedah Darul Aman FC (KDAFC) menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), penyokong Hijau Kuning masih boleh menzahirkan sokongan kepada kelab berkenaan menerusi platform atas talian.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Firdaus Ahmad berkata, penyokong boleh memberikan sokongan kepada KDAFC menerusi media sosial (fb rasmi KDAFC) selain online tv yang dibawakan oleh pihak TM.

Menurutnya, walaupun sokongan menerusi kaedah sedemikian tidak sama seperti menonton di stadium, namun ia tetap mampu memberikan semangat kepada KDAFC pada perlawanan berkenaan.

“Saya yakin sokongan di media-media sosial juga sedikit sebanyak akan ‘mengalirkan’ juga semangat kepada pasukan ketika berdepan JDT malam ini.

“Semangat inilah yang kita harapkan bagi membantu pemain untuk beraksi cemerlang dalam usaha melakar kemenangan ke atas JDT,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Dalam pada itu Mohd Firdaus turut yakin, kesebelasan KDAFC telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi perlawanan berkenaan tanpa kehadiran penonton seperti sebelum ini.

“Walaupun bukan mengganggu, tetapi sedikit sebanyak akan merencatkan semangat pemain kerana sokongan dan sorakan daripada penonton itu sendiri mampu memberikan semangat kepada pemain ketika perlawanan berlangsung.

“Bagaimanapun, kita tetap menghormati dan akur keputusan tidak membenarkan kehadiran penonton ke stadium dalam usaha menangani peningkatan kes Covid-19 di Kedah ketika ini yang turut menyaksikan kerajaan meletakkan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Alor Setar dan juga beberapa daerah di negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KDAFC, Khamal Idris Ali berkata, perlawanan tanpa penonton pernah dilalui oleh pemain-pemain Hijau Kuning sebelum ini.

Justeru menurut Khamal Idris, situasi itu dilihat tidak menjejaskan semangat dalam kalangan pemain untuk beraksi dalam mana-mana perlawanan di Stadium Darul Aman.

“Sebenarnya kalau ada penonton lagi best lah game ni kerana suasana bising dengan riuh jerit pekik tu yang menarik.

“Apa pun, kita dah biasa melalui perlawanan tanpa kehadiran penonton dan pemain-pemain juga faham situasi seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kelab Peminat Bolasepak Kedah (PBK) menegaskan sokongan padu penyokong Hijau Kuning terhadap Kedah Darul Aman (KDA) FC tetap utuh walaupun mengakui kecewa berkenaan status perlawanan berkenaan.

Presiden PBK, Fazli Mansor berkata, penyokong Hijau Kuning begitu teruja untuk menyaksikan perlawanan tersebut terutama penyokong tegar yang telah mula kembali ke gelanggang keramat KDA, Stadium Darul Aman sebelum ini.

"Saya akui kecewa tapi sama seperti penyokong Kedah lain reda kerana ini merupakan arahan daripada kerajaan yang perlu dipatuhi semua pihak dalam usaha memutuskan rantai pandemik Covid-19 di negeri Kedah.

"Apapun saya percaya dalam kalangan penyokong-penyokong Kedah tidak akan gundah gulana kerana mereka masih boleh menyaksikan perlawanan berprofil tinggi tersebut menerusi platform digital.

"Pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini pun ada menyediakan platform untuk penyokong menyaksikan perlawanan Liga Super sesuai dengan pendekatan norma baharu yang dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat pada masa ini," katanya.