152 pemilik kondominium desak pengurusan buat EGM

Ahmad Fuzi
Ahmad Fuzi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk membabitkan seramai 152 pemilik unit Kondominium Endah Regal di sini mendesak pihak pengurusan mereka mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secepat mungkin.

Pengerusi Protem Komuniti Prihatin Endah Regal, Datuk Seri Ahmad Fuzi Ab Kahar mendakwa, ini kerana jawatankuasa sementara yang ditubuhkan tidak mengikut peraturan dan kaedah ditetapkan.

“Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan EGM tidak buat. Audit pun tidak ada. Kita mahu melihat ke mana perginya duit-duit ini, bagaimana tindakan diambil dan penyelenggaraan yang dibuat.

“Contohnya, lif di sini selalu sahaja rosak. Jadi ini satu pembaziran kepada penghuni atau pemilik di Endah Regal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkata, perlu ada satu tindakan komprehensif, antara lain dengan mengadakan EGM bagi menentukan siapa yang mewakili penduduk.

“Ini supaya hasrat dan cita-cita penghuni di sini diambil berat. Kita tidak mahu rasa teraniaya dan mana-mana pihak mengambil kesempatan terhadap penghuni di sini,” katanya.

Selain itu, Ahmad Fuzi turut mengkritik tindakan jawatankuasa interim kondominium itu apabila mahu menukar syarikat yang menguruskan perjalanan pentadbiran kondominium terbabit.

“Jawatankuasa interim ini mahu menukar dengan satu syarikat yang dia pilih. Jika dia nak melantik sesiapa pun, dia mestilah melalui kita dahulu. Mesti mendapat makluman dan persetujuan.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak ada masalah langsung dengan syarikat yang menguruskan perjalanan pentadbiran kondominium ini,” tegas beliau.

Beliau dalam masa sama turut menggesa agar suara penghuni yang menginap di kondominium tersebut didengari.