Hishammuddin adakan lawatan rasmi dua hari ke Singapura

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Singapura selama dua hari bermula Sabtu.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan lawatan rasmi ke republik itu merupakan jemputan daripada rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Menurut kenyataan itu, dua menteri luar berkenaan akan membincangkan isu-isu kepentingan bersama termasuk inisiatif untuk mengembangkan lagi kerjasama yang akan memberikan keuntungan bersama, dengan fokus kepada kerjasama pascapandemik.

“Dua menteri luar tersebut juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama,” jelas Wisma Putra.

Di Singapura, Hishammuddin dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean.

Wisma Putra memberitahu lawatan Hishammuddin itu akan diadakan dengan protokol kesihatan dan keselamatan yang ketat ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Singapura. - Bernama

Artikel Berkaitan: