X

Kindly register in order to view this article
!

SOP PKP lima daerah dijangka lebih longgar berbanding PKP 1.0

Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Prosedur operasi standard (SOP) di lima daerah di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka diberikan beberapa kelonggaran berbanding PKP 1.0.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau percaya penguatkuasaan SOP yang bermula pada Sabtu sedikit berbeza berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun,, katanya, SOP PKP secara terperinci di daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu dan Baling akan segera dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya memahami kesukaran dihadapi orang ramai terutama berkaitan ekonomi peniaga dan penjaja.

Namun, langkah ini amat perlu demi kepentingan keselamatan dan kesihatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya pada Sabtu.

Muhammad Sanusi berkata, susulan itu juga diharapkan peniaga makanan memanfaatkan perniagaan secara atas talian selain kembali kepada penghantaran

makanan melalui pesanan, sekiranya aktiviti perniagaan dihadkan susulan SOP terbaru ini.

“Kesukaran yang dialami daripada langkah ini tentulah bersifat negatif berbanding positif, namun nikmat kesihatan serta keselamatan hanya berharga apabila kesakitan bertandang dan bencana menimpa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengumumkan semua majlis berbuka puasa Pejabat Menteri Besar di beberapa daerah termasuk yang telah dirancang adalah dibatalkan.

“Sumbangan kepada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal terpilih serta kepada guru al-Quran, bidan, pemandi jenazah dan lain-lain akan dilaksanakan secara agihan ke rumah,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, diharap langkah PKP di beberapa daerah ini dapat diterima sebagai sebahagian daripada kebiasaan baharu di saat kita sedang membuat persiapan Aidilfitri.

"Saya harap rakyat Kedah akan terus mematuhi SOP dan menjaga keselamatan diri dan keluarga.

Jika diberi pilihan, tentulah kita memilih berhari raya dan menjalani kehidupan seperti tahun-tahun sebelumnya, namun ketika ini pandemik Covid-19 mengancam seluruh dunia dan kita harus sentiasa berhati-hati.," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Kedah untuk segera mendaftar program vaksinasi melalui MySejahtera atau pusat kesihatan berhampiran dan hadir bagi mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setiap daerah.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP di lima daerah di Kedah


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!