X

Kindly register in order to view this article
!

Melaram dengan kereta klon luput usia

Nazli (kiri) bersama pegawainya memeriksa sebuah kereta klon yang dirampas JPJ Selangor. - FOTO ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM - Kenderaan berjenama mewah dikesan diseludup masuk dari negara jiran kerana mendapat permintaan tinggi di negara ini.

Rata-rata peminat kereta mewah ini sanggup membelakangkan undang-undang asalkan dapat memiliki kereta impian pada harga murah.

Disebabkan permintaan tinggi itu juga, wujud sindiket yang bertindak memalsukan pendaftaran kereta yang diseludup ini.

Dari tahun 2016 hingga Mac 2021, sebanyak 314 buah kenderaan klon dirampas.

Mendedahkan isu berkenaan, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib berkata, kenderaan klon didefinisikan sebagai mana-mana kenderaan motor yang digunakan di atas jalan raya atau mana-mana premis yang menyerupai kenderaan motor yang lain (berdaftar) dari segi jenis, buatan, model dan nombor pendaftaran.

Nazli Md Taib
Nazli Md Taib

Menurutnya, kategori kenderaan klon adalah pelbagai, antaranya kenderaan yang tidak didaftarkan dan masuk melalui pelabuhan atau sempadan negara sama ada dari Thailand atau Singapura.

“Sebagai contoh, kenderaan klon jenis Toyota Vellfire warna putih, sindiket akan klon menggunakan nombor pendaftaran Toyota Vellfire yang asli di dalam negara.

“Kenderaan asli itu mungkin digunakan di Kedah mahupun negeri lain yang jauh di mana kebarangkalian pembeli tidak akan ke negeri terbabit bagi mengelakkan ia mudah dikesan.

“Kereta klon ini akan menggunakan sama ada cukai jalan yang dipalsukan atau salinan cukai jalan kenderaan asal.

“Sekiranya sindiket mengambil nombor pendaftaran orang lain dan gunakan pada kereta klon, ini adalah satu penipuan. Kebanyakan kes sebegini akan datang kepada kita (JPJ) apabila pemilik asal mengatakan dia menerima saman di tempat yang dia tidak pernah pergi.

“Jadi, kita akan hantar maklumat itu ke negeri terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat JPJ Selangor di sini baru-baru ini.

Cukai jalan palsu yang seakan original yang dirampas selepas digunakan pada sebuah kereta jenis Toyota Vios klon. - FOTO ROSLI TALIB
Cukai jalan palsu yang seakan original yang dirampas selepas digunakan pada sebuah kereta jenis Toyota Vios klon. - FOTO ROSLI TALIB

Beliau berkata, kategori kedua adalah pemilik kenderaan sendiri bersekongkol dengan sindiket.

Kata Nazli, contohnya, pemilik ada kereta Volkswagen dan sindiket datang kepadanya dengan menawarkan bayaran bulanan kereta di bank, tetapi dengan syarat kena bersetuju sindiket duplicate pendaftaran kereta tersebut.

“Pemilik akan jadi gelap mata dan bersetuju. Ini kes pemilik sendiri setuju. Suspek akan membuat klon beberapa buah kereta seperti itu berdasarkan perjanjian antara pemilik dengan sindiket.

“Sindiket boleh bawa masuk kereta klon dengan menggunakan nombor pendaftaran serupa dengan yang asal. Kemudian, antara sindiket dengan pemilik kenderaan telah menetapkan syarat antaranya pemilik dilarang pergi ke negeri yang menjadi lokasi kereta klon dijual,” katanya.

Nazli (kiri) bersama pegawainya memeriksa sebuah kereta klon yang dirampas JPJ Selangor. - FOTO ROSLI TALIB
Nazli (kiri) bersama pegawainya memeriksa sebuah kereta klon yang dirampas JPJ Selangor. - FOTO ROSLI TALIB

Harga kereta klon melambung jika guna cukai jalan asli

Nazli berkata, dengan syarat yang ditetapkan sindiket, pemilik kenderaan asal akan hadir ke JPJ dengan mendakwa cukai jalan miliknya telah hilang atau rosak.

“Di sini pemilik asal kenderaan yang bersekongkol dengan sindiket akan memperoleh cukai jalan yang baharu dan akan diserahkan kepada sindiket untuk digunakan ke atas kereta klon.

“Ini sekali gus menjadikan kereta klon itu bernilai lebih tinggi berbanding kereta klon yang menggunakan cukai jalan palsu. Sindiket juga mampu menghasilkan cukai jalan palsu seolah-olah yang asli menggunakan teknologi canggih,” kata beliau.

Tambahnya, pihaknya mengesan kegiatan terbabit apabila pemilik hadir kali ketiga untuk membuat permohonan cukai jalan baharu.

Katanya lagi, selain itu, ada juga sindiket ‘menghidupkan semula’ kenderaan yang terlibat dalam kemalangan dan dikategorikan sebagai total lost.

“Perkara ini orang awam tidak tahu bagaimana mahu pastikan kereta didaftarkan secara sah dan bukan klon,” katanya.

Jelasnya, cukai jalan palsu sukar dilihat perbezaannya dengan yang asli dari segi bentuk tulisan, hologram dan sebagainya sehingga pihak JPJ terpaksa menghantarnya kepada Percetakan Nasional untuk mendapatkan pengesahan.

Nazli menunjukkan laporan pengesahan daripada Percetakan Keselamatan Nasional yang mengesahkan berkenaan pemalsuan cukai jalan yang digunakan pada kenderaan klon. - FOTO ROSLI TALIB
Nazli menunjukkan laporan pengesahan daripada Percetakan Keselamatan Nasional yang mengesahkan berkenaan pemalsuan cukai jalan yang digunakan pada kenderaan klon. - FOTO ROSLI TALIB

Jelas Nazli, apabila sesebuah kenderaan mewah dijual semurah RM20,000, tentulah ada yang tidak kena dengan kenderaan tersebut, tetapi masyarakat masih membelinya.

95 peratus kenderaan klon di Malaysia dari Singapura

Operasi JPJ mendapati 95 peratus kenderaan klon di Malaysia dibawa masuk dari Singapura.

Kata Nazli, ini disebabkan republik itu menetapkan kenderaan mempunyai had luput usia dengan kereta yang sudah berusia 10 tahun dianggap tidak selamat dan tidak layak dipandu di Singapura

“Bila sampai tahap tempoh itu, kesemua kenderaan terpaksa dilupuskan. Apa yang mereka buat adalah sama ada kenderaan ini dibawa masuk dulu ke dalam negara kemudian baru cari pembeli atau cari pembeli terlebih dahulu.

“Sindiket ini sudah tentu ada rangkaian di sana (Singapura). Di sana ada orang dia dan di sini juga ada orang dia. Kalau tidak dia (sindiket) tidak boleh dapat kereta dari Singapura atau Thailand.

“Kemudian, sindiket akan mengambil gambar-gambar kenderaan yang diklon ini untuk tujuan mencari pembeli,” katanya.

Jelasnya, setelah kenderaan klon ini tiba di Malaysia, kenderaan terbabit akan diparkir di kondominium atau parkir berbayar sehingga ada pembeli. Bila ada pembeli, sindiket kemudian akan meminta pelanggan datang ambil sendiri kenderaan itu di tempat yang ditetapkan.

“Selalunya pelanggan dan penjual tidak akan berjumpa. Semua urusan dilakukan secara online kerana sindiket sentiasa berhati-hati.

“Sindiket ini ada ahli yang mempunyai peranan masing-masing seperti runner dan sebagainya,” cerita beliau.

Sebanyak 314 buah kenderaan klon dirampas JPJ Selangor sejak tahun 2016 hingga Mac ini. - FOTO ROSLI TALIB
Sebanyak 314 buah kenderaan klon dirampas JPJ Selangor sejak tahun 2016 hingga Mac ini. - FOTO ROSLI TALIB

Menurut Nazli, masyarakat yang hendak membeli kenderaan perlu tahu di mana kenderaan itu berada selain memeriksa dengan teliti kenderaan berkenaan.

“Kedua, pemeriksaan kenderaan untuk tukar hak milik perlu melalui proses di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputar (Puspakom). Sebagai pembeli, kita perlu tahu lokasi kenderaan itu dihantar untuk pemeriksaan.

“Kita sendiri pergi ke JPJ untuk cap jari. Pembeli dan penjual mesti thumbprint. Jika jual beli kereta tanpa ada thumbprint, itu tidak sah!

“Kita perlu berhati-hati dan ikuti sendiri proses pertukaran hak milik agar tidak tertipu,” kata beliau.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!