Arwah tak sempat jamah puding dibuat anak

Rumaini menyiram air mawar pada kubur Allahyarham suaminya, Md Yusnan yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pondok Haji Hassan, Ketereh pada Jumaat.
Rumaini menyiram air mawar pada kubur Allahyarham suaminya, Md Yusnan yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pondok Haji Hassan, Ketereh pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr Md Yusnan Yusof sempat bergurau dengan anak perempuannya sebelum meninggal dunia di kediamannya di Melor, di sini pada awal pagi Jumaat.

Isterinya, Rumaini Mat Daud berkata, dia tidak menyangka gurauan Allahyarham ketika anak perempuannya sedang menyiapkan puding jagung itu menjadi kenangan terakhir buat mereka sekeluarga.

"Arwah dilihat acap kali bergurau sambil mengintai anak perempuan menyiapkan puding tersebut di dapur.

"Anak ada beritahu supaya arwah menjamahnya semasa bersahur," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan pengebumian jenazah ADUN Melor itu di Tanah Perkuburan Islam Pondok Haji Hassan, Ketereh pada Jumaat.

Bagaimanapun Rumaini berkata, Allahyarham tidak sempat menjamah hidangan itu selepas dia menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2.28 pagi.

Katanya, sebaik sahaja selesai menyiapkan puding itu dia terus masuk ke dalam bilik untuk tidur sementara suami masih berjaga.

Rumaini berkata, semasa sedang tidur dia dikejutkan dengan laungan kalimah 'Allahuakhbar' oleh suaminya.

Dia berkata, sebaik sahaja bangun suaminya dilihat berada dalam keadaan kejang di tepi katil.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu arwah masih berada dalam keadaan sedar cuma tidak boleh bercakap.

"Arwah kemudiannya tidak sedarkan diri selepas itu, arwah mempunyai penyakit jantung dan pernah menjalani rawatan angiogram pada tahun 2018," katanya.

Rumaini berkata, selain masalah jantung, Allahyarham turut menghidap penyakit kencing manis.

Katanya, arwah seorang yang aktif dan bersemangat serta komited dalam melaksanakan tugas.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan pada jam 2.30 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ayah sebut Allahuakhbar sebelum rebah'

'Allahyarham sangat teliti, menjaga masa'

ADUN Melor meninggal dunia