Penduduk bantah pembinaan menara telekomunikasi

Akmal (dua dari kiri) mengadakan pertemuan dengan Miswan (kiri) sebelum menyerahkan memorandum bantahan penduduk berkenaan PR1MA dan pembinaan menara telekomunikasi di Ibu Pejabat MBJB, Johor Bahru, pada Khamis.
Akmal (dua dari kiri) mengadakan pertemuan dengan Miswan (kiri) sebelum menyerahkan memorandum bantahan penduduk berkenaan PR1MA dan pembinaan menara telekomunikasi di Ibu Pejabat MBJB, Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) perlu menyelesaikan isu pembinaan menara telekomunikasi di Taman Melodies di sini yang mendapat bantahan penduduk setempat.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Md Nasir berkata, penduduk mendakwa menara tersebut dibina tanpa perbincangan dan persetujuan mereka malah terdapat beberapa perkara menimbulkan persoalan.

Katanya, ahli majlis di zon itu juga didakwa tidak menghadiri jemputan penduduk yang mahu mengadakan perjumpaan pada 14 April bagi mengetahui ada surat sokongan atau sebaliknya.

"Sudah lama surat jemputan dikeluarkan dan hanya pada pagi 14 April ahli majlis itu memaklumkan tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur.

"Menara itu tidak akan dibina tanpa kelulusan ahli majlis berkenaan mewakili pihak berkuasa tempatan (PBT). Ketika ini ahli majlis berkenaan seakan-akan lepas tangan dan menyerahkan kepada saya pula untuk selesaikan isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mewakili pembeli Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Residensi Tebrau menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Miswan Yunos di Ibu Pejabat MBJB di sini pada Khamis.

Mengenai penyerahan memorandum tersebut, beliau mempersoalkan bagaimana projek PR1MA Residensi Tebrau itu memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sedangkan sistem perpaipannya masih belum siap.

Akmal dimaklumkan CCC untuk PRI1MA itu dikeluarkan pada 31 Mac lalu sedangkan sepatutnya sijil berkenaan diberikan selepas semuanya selesai termasuk penilaian komprehensif terhadap komponen kerja pembinaan seperti asas bangunan, kerja-kerja tanah, sistem paip, sistem longkang dan saliran, landskap, lampu jalan dan sistem keselamatan kebakaran.

Artikel Berkaitan:

"Persoalannya bagaimana CCC boleh dikeluarkan dalam keadaan sistem paip di PR1MA tersebut belum siap sepenuhnya?

"Adakah benar kontraktor bertindak memenuhkan tangki air secara manual bagi mendapatkan kelulusan CCC sedangkan paip air sebenarnya belum disambung," soalnya.

Beliau percaya PR1MA mendapat CCC kerana tidak mahu membayar pampasan atau tuntutan denda lewat penyerahan rumah (LAD) kepada pembeli selepas dijanjikan untuk dapat kunci sebelum 30 April ini.

Jelasnya, terdapat 1,284 unit PR1MA di kawasan tersebut yang sudah mendapat CCC dan penduduk secara berkumpulan membuat aduan itu kepada pemaju dan beliau sendiri bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Akmal turut mempersoalkan sama ada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin mengetahui perkembangan itu kerana beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil pembeli pada 8 April lalu iaitu seminggu selepas CCC dikeluarkan.

"Sebaiknya menteri terbabit tampil berikan penjelasan mengapa perkara sebegini boleh berlaku, CCC dikeluarkan tanpa bekalan air," katanya.