Kamarul Zaman buat laporan polis dakwa difitnah

Kamarul Zaman menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jitra pada Khamis.
Kamarul Zaman menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jitra pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff mendakwa difitnah pihak tertentu yang cuba menjejaskan imej dan nama baiknya.

Beliau berkata, ia berkaitan satu keratan kononnya diambil dari Facebook miliknya yang mempertikai gambar Raja Muda Perlis berbasikal bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Kamarul Zaman bagaimanapun menafikan pernah memuat naik paparan bertajuk 'Wayang Opera Cina DAP Sekali Lagi?' dalam Facebooknya, malah percaya keratan yang ditularkan beberapa individu pada petang Rabu.

Menurutnya, walaupun paparan berkenaan tidak dijumpai dalam Facebook miliknya, namun ada yang menuduh beliau memadamkannya kerana dikecam netizen.

Sehubungan itu, Kamarul Zaman membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Jitra pada Khamis.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman menamakan 12 individu yang didakwa terlibat dalam penyebaran paparan palsu itu.

"Ketika tersebarnya paparan palsu itu, akaun Facebook saya disekat, tidak dibenarkan membuat sebarang paparan atau komen selama 24 jam, kononnya kerana ada aduan berhubung paparan saya sebelum ini melanggar 'Community Standards Facebook'.

"Apabila akaun Facebook saya dibebaskan dari sekatan, pada jam 6.30 petang Rabu, saya memuat naik paparan menafikan membuat paparan mempertikaikan Raja Muda Perlis, selain menyenaraikan 12 individu terlibat serta menyebut saya akan saman mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada malam hari sama, sekali lagi akaun Facebooknya disekat, tidak dibenarkan membuat paparan atau komen selama tiga hari atas alasan sama.

"Esoknya saya dapati individu bernama Zulhazmi Shariff (Naib Pengerusi DAP Kedah) memuat naik paparan memberi panduan kepada mana-mana pihak yang mahu membuat laporan polis ke atas saya atas dakwaan mempertikaikan Raja Muda Perlis di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988 (Akta 589)," katanya.

Sejurus itu, katanya, beberapa individu turut tampil dengan memuat naik paparan bahawa laporan polis terhadap saya dibuat berdasarkan panduan diberikan Zulhazmi.

"Difahamkan, Ketua AMK Cabang Padang Besar, Perlis telah memuat naik dua paparan memaklumkan beliau membuat laporan polis ke atas saya berdasarkan panduan itu," katanya.

Menurutnya, fitnah berkenaan telah menjejaskan reputasi dirinya, keluarga dan pihak UUM kerana kecaman pelbagai pihak sehingga menimbulkan ancaman keselamatan.

"Saya berpendapat mereka telah melakukan jenayah serius. Oleh itu, saya membuat laporan polis bagi menjelaskan kekeliruan dan mahu perkara ini disiasat," katanya.