Guna dana KWAN: Ekonomi negara dibimbangi lebih parah

Fadli Hussin
Fadli Hussin
A
A
A

ALOR SETAR - Ekonomi negara dibimbangi akan menjadi lebih parah sekiranya Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) digunakan dalam perolehan vaksin Covid-19.

Ketua Perhubungan Ekonomi dan Korporat Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Fadli Hussin berkata, perkembangan itu amat membimbangkan, malah sebahagian pakar ekonomi turut melontarkan pandangan ia tindakan kurang cermat dilakukan kerajaan.

Menurutnya, tindakan itu juga boleh membahayakan kedudukan ekonomi negara kerana wang simpanan KWAN hanya diperuntukkan sebagai dana terakhir untuk generasi masa hadapan sekiranya negara kehabisan sumber pendapatan antaranya gas dan minyak.

“Sebagai rakyat kita harus mendesak kerajaan supaya tolong hentikan, ini termasuk keperluan darurat ditamatkan agar suara rakyat dapat dikembalikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Fadli berkata, dana KWAN hanya perlu diluluskan melalui proses sidang Parlimen, namun persidangan masih belum diputuskan untuk diadakan dalam masa terdekat.

“Orang ramai berhak tahu berapa jumlah kiraan wang sebenar untuk kegunaan vaksinasi melalui dana KWAN. Adakah apabila KWAN digunakan, dana ini tidak perlu diberi penjelasan terperinci atau digunakan secara bebas tanpa penelitian audit?” katanya.

Fadli turut mempersoalkan kenapa kerajaan tidak membuat pinjaman daripada sumber yang ada dalam kewangan domestik.

“Ini yang rakyat harus faham, hutang harus dibayar, KWAN tidak perlu bayar? Sepanjang KWAN ditubuhkan, ia tidak pernah digunakan walau ketika negara hadapi krisis teruk ekonomi pada 1998 dan 2008,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap kerajaan tidak menyamakan dana KWAN dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga terdesak mengeluarkan kenyataan media.

"Pecah tabung KWAN tak sama seperti ambil duit KWSP, dana ini sama seperti pecah tabung pendidikan anak, cucu dan cicit kamu," katanya.

Pada Isnin, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penggunaan dana RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin adalah wajar.Beliau menjelaskan, dana yang digunakan hanya melibatkan sebahagian daripada pulangan pelaburan terkumpul KWAN, iaitu RM19.5 bilion setakat 31 Disember 2020.

Pada 27 April lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kerajaan komited untuk menambah semula dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) apabila krisis disebabkan COVID-19 berakhir dan kewangan kerajaan kembali kukuh.

Jelasnya, penggunaan dana KWAN dalam bentuk geran juga penting untuk memastikan defisit fiskal kekal di bawah sasaran 6.0 peratus pada akhir 2021. ⠀

Tambah beliau, sekiranya kos vaksin sebanyak RM5 bilion tidak digunakan daripada dana KWAN, keperluan meminjam kerajaan adalah jauh lebih tinggi dan sasaran defisit mungkin akan meningkat.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna RM5 bilion dana KWAN beli vaksin wajar: Tengku Zafrul

Dana tambahan RM2 bilion tampung kos pelaksanaan PICK