Pelajar sasaran sindiket penipuan

Datuk Aidi Ismail (kiri) turut sama dalam perasmian pelancaran Jom Ke Sekolah oleh Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin (dua kanan), yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor, di sini, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Sindiket penipuan komersial semakin menular di Terengganu, dengan terkini golongan pelajar turut menjadi sasaran.

Sebanyak 304 kes penipuan melibatkan pelajar dilaporkan sepanjang tahun 2018 yang membabitkan kerugian keseluruhan RM5.2 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, antara kes penipuan paling tinggi diterima ialah pinjaman yang tidak wujud iaitu sebanyak 105 kes melibatkan kerugian keseluruhan RM845,000.

"Golongan pelajar hari mudah menjadi mangsa dalam bentuk penipuan ini kerana mungkin ramai dalam kalangan mereka yang memerlukan wang segera.

"Ia diikuti jenis jenayah penipuan Macau Scam iaitu sebanyak 98 kes melibatkan kerugian keseluruhan RM3.2 juta, penipuan E-Belian (64 kes, kerugian RM 370,000) dan jenayah parcel/love scam (37 kes, nilai kerugian RM740,000).

"Bagi tempoh dua bulan pada tahun ini pula, kita sudah menerima sebanyak 38 kes yang dilaporkan membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM675,000," katanya hari ini.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Program Jom Ke Sekolah peringkat Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor, di sini, hari ini.

Aidi berkata, selain jenayah komersil, polis turut menerima sebanyak 17 kes pelbagai jenayah melibatkan pelajar di negeri ini sepanjang tahun 2018.

"Antara jenayah paling tinggi dilaporkan termasuk jenayah mendatangkan kecederaan (4 kes) dan mendatangkan kecederaan dengan senjata (4 kes).

"Diikuti jenayah merusuh (3 kes), sengaja mendatangkan cedera parah (2 kes), rogol (2 kes) dan jenayah terhadap kanak-kanak (2 kes)," katanya.

Jelas Aidi, bagi jenayah narkotik melibatkan pelajar sepanjang tahun 2018 pula, sebanyak 17 kes diterima membabitkan jenayah narkotik paling tinggi iaitu urine positif dadah (11 kes), memiliki dadah (4 kes)dan kesalahan Akta Racun (2 kes).

Dalam masa sama, Aidi berkata, sebanyak 379 kes kemalangan melibatkan pelajar termasuk kemalangan maut (11 kes), cedera parah (22 kes), cedera ringan (11 kes) dan kerosakan kecil (335 kes) dilaporkan sepanjang tahun lalu.