Anwar jawab dakwaan Azmin, Zuraida dipecat

Anwar ketika bercakap kepada pemberita, hari ini.
Anwar ketika bercakap kepada pemberita, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan telah memecat dua pimpinan kanan parti seperti yang tersebar sejak beberapa hari lalu.

Beliau yang baru pulang dari luar negara menegaskan tidak mendengar perkhabaran itu.

Malah beliau sempat berseloroh meminta surat sekiranya pihak media mahu dua pimpinan itu dipecat.

“Awak (wartawan) mahu mereka dipecat? Tulis surat kepada saya. Saya tak ada dengar dan ini hanya cubaan sesetengah pihak untuk alih fokus utama kita,” katanya kepada pemberita di Universiti Selangor, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin, Zuraida masih orang kuat PKR

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dikhabarkan telah dipecat daripada parti dan menyertai Bersatu.

Namun, kedua-dua pemimpin telah menafikan perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Anwar sempat mengulas soal lantikan baharu 15 ahli Majlis Tindakan Ekonomi yang tidak menyenaraikan namanya.

Artikel Berkaitan:

“Saya dah cakap dengan Perdana Menteri saya mahu beri dia ruang sepenuhnya. Saya tak rasa ada keperluan bagi saya berkhidmat untuk apa-apa kedudukan dalam kerajaan.

“Fokus saya hanya di Parlimen. Ini kesefahaman antara kami dan saya rasa dia terima. Sebab itu saya hanya pegang jawatan dalam Parlimen dalam jawatankuasa Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen,” katanya.

Isnin lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang bertanggungjawab untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.