Polis akan panggil peniaga burger, teliti semula nilai kompaun

 Tular di media sosial melibatkan pemilik gerai burger yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga lebih masa.
Tular di media sosial melibatkan pemilik gerai burger yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga lebih masa.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan meneliti dan memanggil semua pemilik premis yang dikenakan kompaun (OKK) untuk menawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, garis panduan tersebut adalah berdasarkan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun yang ditetapkan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta 342 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

"Merujuk kepada kes tular di media sosial melibatkan pemilik gerai burger yang dikenakan kompaun RM50,000 dan pada masa yang sama, kami juga telah mengeluarkan tiga kompaun terhadap pemilik premis kedai makan termasuk pemilik gerai burger berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN Peniaga burger terkilan dikompaun RM50,000

Menurutnya, penguatkuasaan secara berterusan telah dilaksanakan berikutan peningkatan penularan Covid-19 di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua daerah di sini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, pihaknya telah meningkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh daerah berkenaan.

"Bagi tempoh bermula 16 hingga 26 April, sebanyak 127 kompaun dikeluarkan kepada pihak yang tidak mematuhi SOP.

"Kami menerima aduan dan rungutan daripada masyarakat bahawa masih wujud premis perniagaan yang tidak mematuhi SOP dan kedai makan beroperasi melebihi masa ditetapkan.

"Pada 25 April, susulan aduan orang awam, kami juga telah mengeluarkan tujuh kompaun kepada pemilik dan pelanggan premis kedai makan di sekitar Pengkalan Chepa," katanya.

Artikel Berkaitan: