MITI sasar dapat mandat Jemaah Menteri

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan untuk mendapat mandat Jemaah Menteri bagi menentukan hala tuju Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) Oktober ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya telah memulakan sesi libat urus dengan industri dan pemegang taruh mulai tahun lalu untuk peniaga memahami obligasi dalam perjanjian terbabit.

“Selain sesi libat urus, kajian analisis kos-manfaat mengenai penyertaan Malaysia dalam CPTPP sedang dijalankan yang dijangka akan selesai menjelang Oktober ini.

“Dengan itu, MITI sasar mendapat mandat Jemaah Menteri mengenai (hala tuju) CPTPP Oktober ini,” katanya dalam Buletin Utama TV3 pada Isnin.

Mengenai perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dijadual diratifikasi pada awal 2022, Azmin berkata, bagi melengkapkan proses ratifikasi perjanjian tersebut, tiga akta di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu dipinda terlebih dahulu.

Akta tersebut adalah Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Cap Dagang 1976, katanya.

Pada mesyuarat menteri-menteri ekonomi ASEAN baru-baru ini beliau berkata, setiap negara telah memberi komitmen untuk meratifikasi RCEP pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan ekoran proses yang berbeza di setiap negara.

“Hanya Singapura meratifikasi RCEP setakat ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas lapan tahun berunding, RCEP dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 pada November tahun lepas bersama 10 negara anggota ASEAN dan rakan strategik lain termasuk Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.

Perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia itu membabitkan 15 negara anggota merangkumi 2.2 bilion atau hampir sepertiga penduduk dunia dan menyumbang hampir 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia. - Bernama