Dua jam bergelut dengan nelayan Vietnam

Bot nelayan asing bersama empat kru yang cuba meloloskan diri sebelum berjaya ditahan - Foto Jabatan Perikanan Johor
Bot nelayan asing bersama empat kru yang cuba meloloskan diri sebelum berjaya ditahan - Foto Jabatan Perikanan Johor
A
A
A

MERSING - Pasukan penguat kuasa terpaksa bergelut hampir dua jam, sebelum berjaya menahan empat nelayan Vietnam yang cuba melarikan diri dalam kejadian kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Aur, di sini pada Ahad.

Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Noraishah Hashim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika rondaan bersepadu oleh jabatan itu bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Dua dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Mersing di perairan Johor Timur

Menurutnya, bot itu pada mulanya ditahan bagi membanteras kegiatan penangkapan ikan secara haram.

"Bagaimanapun, nelayan berkenaan cuba melawan dengan merosakkan 'propeller' bot jabatan dan melicinkan lantai bot bagi menyukarkan penguat kuasa menaiki bot.

"Kita mengambil masa hampir dua jam dan gerakan taktikal digunakan untuk menahan bot dan empat nelayan Vietnam itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu tidak mempunyai dokumen sah. Kesemua nelayan berusia antara 23 hingga 52 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Jelasnya, bot dan peralatan menangkap ikan turut disita dan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau turut meminta kerjasama nelayan dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan pencerobohan supaya berkongsi maklumat dengan jabatan untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di perairan Johor bagi memastikan pengurusan sumber perikanan mampan dan berdaya saing," katanya.