19 nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara

Salah sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara. - Foto: Maritim Malaysia
Salah sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara. - Foto: Maritim Malaysia
A
A
A

MERSING- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing telah menahan dua bot nelayan asing Vietnam bersama 19 kru kerana menceroboh perairan negara, kira-kira 10 batu nautika timur laut dari Pulau Pemanggil, di sini pagi Ahad.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kesemua kru termasuk tekong berumur lingkungan 18 hingga 52 tahun itu ditahan kira-kira jam dua pagi.

Menurutnya, penahanan itu dibuat dalam satu Op Bersepadu bersama Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Johor.

"Dalam operasi itu, kita mengesan kedua-dua bot yang memasuki perairan negara tanpa kebenaran dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kedua-dua bot serta 19 kru telah ditahan dan diiringi masuk ke Jeti Maritim Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut dan kesemua tahanan juga akan menjalani saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak yang sedang melanda," katanya.

Jelas beliau, Maritim Malaysia memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara dan usaha mencegah penularan Covid-19 melalui perairan negara.

Beliau turut mengingatkan, tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana pihak gagal mematuhi undang- undang.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sebarang aduan jenayah boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.