Tutup sekolah bukan langkah terbaik

Sekolah dalam zon hijau diharap boleh teruskan operasi dengan pematuhan SOP yang ketat

Hanya sekolah yang mempunyai jangkitan Covid-19 perlu ditutup bagi tujuan sanitasi. Gambar kecil: Mohd Azizee
Hanya sekolah yang mempunyai jangkitan Covid-19 perlu ditutup bagi tujuan sanitasi. Gambar kecil: Mohd Azizee
A
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berpendapat langkah untuk menutup operasi persekolahan sepenuhnya bukanlah langkah terbaik.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, hanya sekolah yang mempunyai kes jangkitan atau berada di kawasan zon merah serta berisiko sahaja yang perlu ditutup.

“Sekolah yang masih dalam zon hijau atau selamat bolehlah teruskan sesi persekolahan seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti mana ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sekolah yang ada jangkitan kes positif Covid-19 sahaja yang wajar ditutup untuk sementara waktu dan teruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya.Menurutnya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan dengan memaklumkan kepada pihak sekolah jika anak atau ibu bapa mempunyai simptom jangkitan.

“Kuasa menentukan penutupan sekolah bergantung kepada nasihat daripada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah dan dalam hal ini, ibu bapa tak perlu bimbang.

“Ibu bapa perlu berikan kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menguruskan kes jika berlaku,” katanya.

Selain itu, iGuru berpendapat, KPM perlu mengambil langkah kontingensi jika berlaku sebarang jangkitan seperti mencari penyelesaian yang tuntas dalam menangani penularan Covid-19 di sekolah.

“Kita perlu banyak option seperti membuat sistem penggiliran pelajar ke sekolah iaitu dengan mengutamakan pelajar Tingkatan Empat dan Lima manakala selebihnya secara PdPR kerana spek keselamatan dan kesihatan murid dan guru perlu menjadi keutamaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: