Rayuan Tok Mat ditolak, PRK Rantau menyusul

Mohamad Hasan
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pilihan Raya Kecil DUN Rantau N27 akan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan yang dikemukakan ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Malanjum ketika membuat keputusan itu berkata, Dr. S. Streram mempunyai locus standi (hak yang sah di sisi undang-undang) untuk mengemukakan petisyen pilihan raya.

"Kami dengan ini menolak rayuan perayu dengan kos, dan berpendapat pilihan raya kecil bagi DUN Rantau perlu diadakan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Dun Rantau: Anwar belum beri pandangan

Korum itu kemudian memutuskan setiap perayu membayar kos sebanyak RM10,000 kepada responden (Streram).

Korum itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alizatul Khair Osman Khairruddin; Datuk Rohana Yusuf; dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Mohamad berkata, beliau menghormati keputusan itu dan bersedia menghadapi pilihan raya kecil bagi DUN yang dimenanginya sebelum ini.

"Saya sudah lama bersedia untuk mengadakan PRK Rantau dan menghormati proses undang-undang serta menerima keputusan ini dengan hati terbuka," katanya.

Tambahnya pasukan peguam telah berhujah dengab baik dan hakim-hakim membuat keputusan PRK perlu diadakan segera.

"Saya akan bersedia dan menunggu keputusan SPR bilakah pilihan raya kecil akan diadakan," ujarnya

Streram pula berkata, beliau gembira dengan keputusan itu dan menyifatkan ianya sebagai satu suntikan semangat dan mengsahkan bakal bertanding dalam pilihan raya kecil itu kelak.

Peguam Mohammed Haniff Khatri Abdulla berkata, mahkamah memutuskan rayuan kedua-dua pihak tidak bermerit dan tidak menjejaskan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban sebelum ini.

"Ia bermaksud pilihan raya kecil perlu diadakan. Notis perlu dihantar kepada SPR secepat mungkin dan pilihan raya kecil akan diadakan," katanya.

Tambah beliau, keputusan itu membuktikan mana-mana pihak yang merupakan rakyat Malaysia berkelayakan menjadi calon tidak boleh dihalang oleh sesiapa sahaja untuk menjadi calon.

Pada 16 November lepas memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar, yang turut memutuskan PRK bagi DUN Rantau yang dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada PRU14 lalu, perlu diadakan serta-merta.