'Azlan kurang keupayaan memimpin berbanding Shahidan'

Salim (duduk di tengah) ketika sidang akhbar di sebuah hotel di Kangar pada Ahad.
Salim (duduk di tengah) ketika sidang akhbar di sebuah hotel di Kangar pada Ahad.
A
A
A

KANGAR - UMNO Bahagian Arau memohon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan semula pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi UMNO Perlis baharu bagi menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau, Salim Dahaman berkata, pengalaman dan usaha kuat Shahidan mendekati rakyat dan menjaga kebajikan rakyat Perlis menjadi taruhan kekuatan UMNO di negeri itu selama ini.

Malah, pihaknya turut mendesak Ahmad Zahid mengembalikan jawatan Pengerusi UMNO Perlis kepada Shahidan semula demi keutuhan dan kekuatan jentera parti di negeri berkenaan.

"Kami tidak menaruh keyakinan terhadap Datuk Seri Azlan Man yang dilihat kurang berkeupayaan untuk memimpin UMNO Perlis seperti yang diperlihatkan melalui cara beliau menerajui UMNO Bahagian Kangar.

"Selama beliau menjadi Menteri Besar Perlis, tiada usaha atau bantuan diberikan untuk memperkasakan UMNO Perlis," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Salim berkata, banyak asas perlu dipertimbangkan kenapa Shahidan perlu dikekalkan, antaranya ialah membawa UMNO Perlis menang dua daripada tiga kerusi Parlimen dan menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri.

Menurutnya, keharmonian yang telah wujud dalam kalangan UMNO di negeri berkenaan dan bahagian-bahagiannya telah menguatkan parti tersebut semasa di bawah kepimpinan Shahidan.

"Kekuatan dan keharmonian ini amat perlu dalam UMNO Perlis untuk menghadapi PRU15 akan datang. Kami berkeyakinan UMNO Perlis akan mencapai kejayaan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, rekod UMNO di Bahagian Arau dan Padang Besar pada PRU14 juga cemerlang berbanding Kangar pimpinan Azlan yang tewas tiga kerusi termasuk Parlimen yang jatuh ke tangan pembangkang.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid mengumumkan pertukaran jawatan Pengerusi UMNO Perlis yang disandang Shahidan sebelum ini digantikan kepada Azlan berkuat kuasa serta-merta.