Ops Samseng Jalanan: Kakitangan PBT antara lima ditahan

Gambar kecil: Shamsul Amar Ramli
Gambar kecil: Shamsul Amar Ramli
A
A
A

KLANG - Lima individu termasuk seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan dalam Ops Samseng Jalanan kerana disyaki menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Persiaran Raja Muda Musa Pelabuhan Klang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya mengesan tiga individu termasuk kakitangan PBT itu menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan cara menundukkan badan serta melakukan aksi zig zag.

"Dua lagi penunggang motosikal didapati berlumba sesama sendiri pada jam 3 pagi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam perkembangan berasingan, Shamsul Amar memaklumkan pihaknya turut menahan seorang penganggur berusia 29 tahun yang memandu kereta dalam keadaan mabuk.

“Kita juga mengeluarkan 107 saman, kesalahan paling tinggi direkodkan adalah tiada cermin sisi, ubah suai ekzos serta struktur peralatan kenderaan dan tiada lesen memandu," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 119 buah kenderaan dan motosikal diperiksa melibatkan 128 pengguna jalan raya.

"Kita turut menyita 15 buah motosikal dalam operasi itu. Kes disiasat mengikut 42 (1) dan 45 (A) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan: