Nik Aziz lancar manifesto PRK DUN Semenyih

Nik Aziz menunjukkan manifesto yang dilancarkan di Pejabat PSM. Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

SEMENYIH - Calon PSM PRK DUN Semenyih Nik Aziz Afiq Abdul hari ini melancarkan manifesto tujuh isu yang akan diperjuangkan apabila menang pada PRK DUN Semenyih.

Nik Aziz berkata, manifesto itu antaranya perumahan mampu milik dan pembangunan terancang.

"Semenyih sejak kebelakangan ini menjadi sebuah kawasan yang pesat membangun.

"Lambakan perumahan mewah dengan harga tidak masuk akal dilihat masih belum terjual," katanya.

Beliau berkata, generasi muda di Semenyih tidak mampu untuk membeli rumah mewah yang bernilai RM300,000 hingga RM600,000.

"Mereka terpaksa menyewa rumah untuk terus mendiami di Semenyih," katanya.

Menurutnya, PSM akan menggesa pihak berwajib mengawal harga rumah dengan mengetatkan syarat buat pemaju sebelum sesuatu projek dilaksanakan.

"Kita akan memperkenalkan had kuota rumah mewah untuk satu kawasan," katanya.

Nik Aziz berkata, PSM juga akan berkempen mendesak projek kos rendah dikembalikan semula.

"Setiap perumahan mesti memiliki satu fasa untuk rumah kos rendah dan sederhana," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati lot perniagaan di Semenyih dipercayai dibolot oleh orang luar.

"Setiap kawasan perumahan juga harus mempunyai kuota 30 peratus pemilikan lesen perniagaan untuk orang tempatan," katanya.

Antara manifesto Nik Aziz adalah meningkatkan kemudahan kesihatan seiring pertambahan penduduk, tambah pengangkutan awam/tolak tol yang membebankan.

Nik Aziz berkata pihaknya juga mahu memperjuangkan pendidikan buat generasi hadapan, pilihanraya majlis, kampung, dan taman untuk menangani salahguna kuasa dan rasuah.

"Kita juga akan melaksanakan kempen untuk membatalkan yuran penyelenggaran bulanan pangsapuri kos rendah dan digantikan dengan cukai pintu setahun sekali dan hidup sihat serta hijau," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia