Murid B40 tercicir jika sekolah ditutup

KPM tidak boleh mengulangi tindakan penutupan sekolah kerana akan menjejaskan pembelajaran murid terutama dari keluarga B40. Gambar kecil: Dr Anuar Ahmad
KPM tidak boleh mengulangi tindakan penutupan sekolah kerana akan menjejaskan pembelajaran murid terutama dari keluarga B40. Gambar kecil: Dr Anuar Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Penutupan keseluruhan sekolah di dalam negara bakal membantutkan kembali pembelajaran majoriti pelajar yang tergendala hampir setahun sebelum ini akibat Covid-19.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak boleh mengulangi tindakan penutupan sekolah kerana akan menjejaskan pembelajaran murid terutama dari keluarga B40.

“Kesan penutupan sekolah amat dirasai kebanyakan murid terutamanya mereka yang berada di pedalaman ataupun anak orang miskin yang tidak memiliki kemudahan internet dan komputer,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sehubungan itu, ujar beliau, penutupan sekolah bukan pilihan utama kerana tidak semua institusi pendidikan berada di kawasan berisiko tinggi kes penularan Covid-19.

Sebaliknya kata Anuar, aspek pemantauan perlu dipertingkatkan dengan memberi ruang kepada sekolah di zon hijau untuk meneruskan sesi persekolahan seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Bagi sekolah zon merah pula perlu mengambil kira situasi mengikut setiap sekolah satu persatu. Kalau sekolah itu ada kes, kita perlu tutup terus.

“Ini sebab ada sekolah di kawasan merah tidak mempunyai kes penularan, maka tiada keperluan untuk ditutup,” ujarnya.

Anuar turut yakin ramai ibu bapa bersetuju dengan tindakan KPM yang tidak menutup kesemua sekolah dengan mengambil kira beberapa faktor tertentu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ibu bapa bimbang keselamatan dan keadaan anak mereka yang tinggal di rumah ketika mereka keluar bekerja sekali gus menjejaskan fokus terhadap tuntutan kerja.

“Selain itu, penutupan sekolah juga pastinya menjejaskan waktu ibu bapa yang perlu memenuhi tuntutan kerjaya,” jelas beliau.

Anuar berkata, KPM disaran lebih proaktif mengemaskini perkembangan baharu kes penularan Covid-19 yang berlaku di kawasan sekolah dengan tindakan menangani perkara tersebut.

Pada Februari lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim mendedahkan 1.85 juta atau 37 peratus daripada lima juta pelajar di seluruh negara tidak mempunyai peranti PdPR.