[DIKEMASKINI] PKPD di tiga lokaliti di Sabah, Sarawak dilanjutkan 9 Mei

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti, masing-masing melibatkan dua kawasan di Sabah dan satu di Sarawak yang dijadualkan berakhir pada Ahad, dilanjutkan hingga 9 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti di Sabah melibatkan Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan di daerah Tawau manakala di Sarawak, melibatkan Sungai Passin, Matu.

“Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan.

“KKM turut melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD (di Sungai Passin) serta kes terakhir yang dilaporkan ialah pada 19 April lalu iaitu sebanyak lima kes positif,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut memaklumkan penamatan PKPD di enam lokaliti di daerah Tawau mulai Ahad melibatkan Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit.

Ismail Sabri berkata, ia berikutan baki kes aktif di kesemua lokaliti menunjukkan trend penurunan dan baki kes positif telah menerima rawatan serta kontak rapat diasingkan.

Beliau juga berkata, sejumlah 269 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Jumaat dengan 250 dikenakan kompaun manakala 16 direman dan tiga lagi dijamin.

Katanya, Operasi Benteng pula menyaksikan sejumlah 76 pendatang tanpa izin ditahan dan dua kenderaan darat dirampas. - Bernama

Artikel Berkaitan: