Gol sulung suntik semangat Syamim

Syamim (depan) meraikan jaringan bersama pemain skuad Hang Tuah ketika menentang Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, minggu lalu. - Foto Facebook MUFC.
Syamim (depan) meraikan jaringan bersama pemain skuad Hang Tuah ketika menentang Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, minggu lalu. - Foto Facebook MUFC.
A
A
A

PEMAIN tengah Melaka United FC, Ahmad Syamim Yahya mengakui prestasinya masih tidak menentu selepas mengharungi sembilan aksi Liga Super, namun bertekad ingin terus memperbaiki kelemahan bagi membantu skuad Hang Tuah yang kini di tangga ketiga tercorot.

Musim kedua bersama Melaka, Syamim berjaya meraih gol pertamanya ketika menentang Selangor FC pada minggu lalu selepas kali terakhir dia menjaringkan gol adalah pada 2019 ketika bersama Terengganu FC.

Semestinya, gol sulung itu memberi semangat baharu kepada pemain berusia 30 tahun ini untuk cuba beri impak lebih besar kepada pasukan untuk meraih kemenangan apatah lagi mereka kini sedang bergelut dengan prestasi.

Tidak menolak tekanan makin dirasai, Syamim percaya rakan sepasukan yang lain dapat mengatasi cabaran untuk aksi seterusnya selain berharap dua baki perlawanan sebelum berakhir pusingan pertama Liga Malaysia dapat memihak kepada mereka.

“Sememangnya jaringan gol minggu lalu beri semangat yang positif kepada saya dan saya akan kerja dengan lebih keras untuk cuba meledak gol lagi selepas ini.

“Saya tidak menafikan prestasi saya ada turun naik sebelum ini, tetapi bersyukur apabila masih diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama dan saya sentiasa berusaha keras untuk lebih konsisten perlawanan demi perlawanan.

“Untuk pasukan, perlawanan masih banyak lagi pada musim ini, jadi saya positif kita sempat untuk perbaiki kedudukan dengan lebih baik, dan aksi menentang Perak FC pada Ahad ini, kita kena perlu lebih serius sebab bagi saya, Perak masih lagi antara pasukan terbaik”, katanya.

Tiga perlawanan berlangsung pada Sabtu menyaksikan Penang FC akan menentang Sri Pahang FC, UiTM FC bertemu PJ City FC manakala pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menerima kunjungan Terengganu FC.

Artikel Berkaitan:

Sementara satu lagi baki perlawanan adalah pada Ahad melibatkan Perak FC dan Melaka United FC.