Penduduk bantah surau diroboh

Hamidah bersama penduduk membantah Surau Al- Karamah di Kampung Seri Rahmat dirobohkan.
Hamidah bersama penduduk membantah Surau Al- Karamah di Kampung Seri Rahmat dirobohkan.
A
A
A

IPOH - Sambutan Ramadan di Surau Al-Karamah, Kampung Seri Keramat di sini tahun ini berbeza apabila rumah ibadat berusia hampir 40 tahun itu akan dirobohkan tidak lama lagi.

Setiausaha jawatankuasa surau, Abdullah Khalbi berkata, surau yang turut menjadi tumpuan penduduk dari Kampung Seri Murni dan Tok Chendang akan diambil alih bagi memberi laluan kepada projek perumahan berhampiran.

Menurutnya, kariah surau diri Jumaat itu membantah keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk meroboh dan menggantikan surau ke satu kawasan yang dihuni penduduk bukan Islam.

Katanya, keputusan itu dibuat tanpa rundingan daripada jawatankuasa surau terlebih dahulu sehinggalah surat rasmi diterima pada 16 November lalu.

"Alasan yang diberikan adalah tapak surau bukanlah tanah wakaf dan lebih melucukan, bahan-bahan surau yang mempunyai nilai seperti tiang, kayu dan sebagainya akan dikembalikan kepada Baitulmal dan MAIPk itu sendiri.

"Menjadi persoalan, adakah tapak baharu yang diberikan itu merupakan tanah wakaf? Surau ini diiktiraf MAIPk untuk didirikan Jumaat kenapa pula bersetuju untuk dirobohkan? Ini sikap 'double standard'," katanya pada sidang akhbar berhubung rumah penduduk dan surau yang akan dirobohkan di sini pada Jumaat.

Penduduk kampung terlibat yang merupakan peneroka awal dan kerajaan negeri pada tahun 2002 meluluskan cadangan pindah milik tanah kerajaan di kawasan tersebut seluas 42.49 hektar bagi projek perumahan dan pembangunan bercampur kepada sebuah syarikat pemaju.

Abdullah berkata, pihaknya menerima notis daripada pihak peguam pada 9 April lalu dan penduduk diberi tempoh sehingga Isnin ini bagi mengosongkan surau dan rumah sebelum dirobohkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka berasa sedih apabila MAIPk sendiri tidak mempertahankan keberadaan surau itu malah bersetuju dipindahkan jauh daripada penduduk.

"Kenapa susun atur pelan pembangunan tidak mengambil kira tapak surau yang dibina awal berbanding projek perumahan?

"Semalam (Rabu) kami telah failkan injuksi di mahkamah bagi mendapatkan perintah untuk menangguhkan proses pemindahan dan merobohkan rumah. Ini salah satu usaha kami mempertahankan surau agar penduduk dapat bertarawih dan beribadah Ramadan ini," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan menghubungi pihak terlibat sebaik mendapat aduan daripada penduduk.

"Perobohan yang dirancang pada Isnin ditunda sehingga dua minggu selepas sambutan Ramadan. Bagaimanapun, ini hanyalah secara lisan dan sehingga kini masih belum dapat notis bertulis.

"Surau sekiranya dipindahkan ke lokasi diberikan, apakah jaminan tiada isu berbangkit dalam kalangan penduduk bukan Islam seperti laungan azan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri perlu campur tangan sehingga satu bentuk penyelesaian dapat dibentuk termasuk perobohan 11 rumah setinggan.

"Putra akan bersiap sedia Isnin ini bagi membantah sebarang bentuk perobohan surau dan rumah penduduk di kawasan ini," katanya.