X

Kindly register in order to view this article
!

Kes tanah adat orang asli: Rayuan Kelantan diputuskan 3 Jun

A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 3 Jun depan untuk memutuskan rayuan kerajaan negeri Kelantan yang gagal membatalkan saman kerajaan Persekutuan terhadapnya berhubung isu tanah adat masyarakat orang asli suku Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, yang mengetuai panel tiga hakim, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Khoo Guat Huat bagi pihak kerajaan negeri Kelantan dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, yang mewakili kerajaan Persekutuan.

"Kami tidak akan membuat keputusan hari ini, kami akan memberikan tarikh lain," kata Bee Lan yang bersidang bersama-sama Datuk P.Ravinthran dan Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak.

Pada 20 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan kerajaan negeri Kelantan untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman yang dikemukakan kerajaan Persekutuan terhadap kerajaan negeri yang diterajui Pas.

Kerajaan negeri Kelantan memfailkan permohonan itu atas alasan kerajaan Persekutuan tidak mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk memulakan tindakan perundangan.

Kerajaan Persekutuan telah menamakan kerajaan negeri Kelantan, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta lima syarikat swasta sebagai defendan.

Kerajaan Persekutuan mengemukakan saman itu selaras dengan kewajipannya dari segi perlembagaan dan fidusiari bagi melindungi kebajikan masyarakat orang asli yang telah membantah pencerobohan ke atas tanah adat mereka.

Dalam penyataan tuntutan, kerajaan Persekutuan mendakwa kerajaan negeri Kelantan telah mengeluarkan lesen kepada beberapa syarikat swasta bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti komersial seperti pembalakan dan pembersihan tanah untuk menanam pokok getah dan durian di tanah adat orang asli suku Temiar.

Pada Januari 2019, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dilaporkan sebagai berkata buat pertama kalinya sejak negara merdeka, Kerajaan Persekutuan memulakan tindakan perundangan bagi pihak masyarakat Orang Asli untuk memelihara hak mereka di sisi perlembagaan dan perundangan dalam usaha melindungi serta mendorong kesejahteraan dan kemajuan mereka.

Pada prosiding hari ini (Jumaat), Guat Huat berhujah bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu bagi pihak masyarakat orang asli suku Temiar.

Beliau berkata kerajaan negeri Kelantan tidak berhutang kepada kerajaan Persekutuan dari segi kewajipan yang mungkin membolehkan kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan.

Katanya jika kerajaan Persekutuan mempunyai locus standi untuk memulakan saman terhadap kerajaan negeri maka akan berlaku pertikaian antara kedua-dua pihak.

Guat Huat berkata, jika pertikaian berlaku antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan kegeri maka perkara itu harus didengar oleh Mahkamah Persekutuan dan bukan Mahkamah Tinggi.

Gurdial Singh pula berhujah bahawa ini adalah saman persendirian yang membabitkan hak masyarakat orang asli.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk melindungi kebajikan dan kepentingan masyarakat orang asli.

Katanya, terdapat isu yang boleh dibicarakan dan harus diputuskan antara kedua-dua pihak, maka ia hendaklah diselesaikan menerusi pengemukaan bukti pada perbicaraan penuh.

Peguam Lim Kon Keen, yang mewakili syarikat swasta, mengguna pakai hujah Guat Huat. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!