AirAsia lancar AirAsia Money

Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Ringgitplus, Yuen Tuck Siew; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Super App, Karen Chan dan Mohamad Hafidz serta Ketua Komersial Ringgitplus, Hann Liew pada majlis pelancaran AirAsia Money pada Jumaat.
Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Ringgitplus, Yuen Tuck Siew; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Super App, Karen Chan dan Mohamad Hafidz serta Ketua Komersial Ringgitplus, Hann Liew pada majlis pelancaran AirAsia Money pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat Penerbangan AirAsia terus melakukan inovasi dalam pasaran aplikasi mudah alih dengan melancarkan AirAsia Money sebagai cabang baharu dalam AirAsia Super App pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, aplikasi AirAsia Super App dilancarkan pada tahun lepas menjadi peneraju aplikasi super di negara-negara Asean.

"Kami terus berinovasi dan teruja untuk memperkenalkan cabang baharu dalam AirAsia Super App iaitu AirAsia Money pada hari ini," katanya ketika majlis pelancaran AirAsia Money di Red Station KL Sentral, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Tony berkata, AirAsia mula menceburi industri teknologi kewangan pada tahun 2018 dengan memperkenalkan aplikasi BigPay.

"Kami berhasrat untuk terus berinovasi dan kekal relevan dalam pasaran ini dengan memperkenalkan Airasia Money untuk mendorong pelanggan ke arah kebebasan kewangan," ujarnya.

Beliau berkata, pasaran kewangan tersedia dalam Airasia Super App akan menjadi pusat sehenti bagi semua keperluan kewangan untuk pelanggan mereka bermula di Malaysia, diikuti negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia, Filipina dan Thailand.

Menurutnya, AirAsia juga bekerjasama dengan Ringgitplus bagi memulakan pasaran kewangan yang menawarkan akses lebih luas dan berpatutan untuk perkhidmatan serta produk kewangan.

"AirAsia Money berfungsi sebagai sebuah platform yang memberikan pilihan terbaik bagi keperluan pelanggan dan membantu mereka mencari atau memenuhi pembiayaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap dapat memainkan peranan penting dalam mendorong rangkuman kewangan di ASEAN dan membantu berjuta-juta pelanggan di seluruh rantau ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Airasia Money, Mohamad Hafidz berkata, Airasia Money bertanggungjawab untuk menyediakan teknologi dan inovasi pembayaran bagi AirAsia Group.

Dalam masa sama, katanya, aplikasi mudah alih AirAsia Money itu juga bagi memastikan pengalaman pembayaran lancar serta menjadikan pembayaran dalam talian lebih mudah.

"Ciri-ciri ini adalah keupayaan teras dalam penyelesaian dan penawaran digital kami.

"Pasaran Kewangan adalah tawaran produk teknologi kewangan baharu tersedia di AirAsia Super App yang memberikan semua pelanggan kami pelbagai penyelesaian kewangan menyeluruh dan mudah.

"Dengan kerjasama strategik seperti RinggitPlus, kami menyediakan platform yang selamat dan penyelesaian berasaskan keperluan setiap individu," kata beliau.

Untuk mendapatkan perkhidmatan dan maklumat terkini mengenai aplikasi AirAsia Money, pelanggan boleh memuat turun aplikasi atau layari airasia.com/money.