Balas pengorbanan barisan hadapan

Amilludin (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Arifai pada program Singgah Sinar Iftar 1-Meter di SJR Tol Gombak pada Rabu.
Amilludin (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Arifai pada program Singgah Sinar Iftar 1-Meter di SJR Tol Gombak pada Rabu.
A
A
A

GOMBAK - Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn Bhd mengagihkan sumbangan berbentuk baucar pakaian dan juadah berbuka puasa kepada pasukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak yang bertugas di khemah sekatan jalan raya (SJR) Tol Gombak di sini menerusi program Singgah Sinar Iftar 1-Meter.

Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari, Amilludin Latip berkata, buat pertama kali pihaknya menyantuni pasukan barisan hadapan dan berbuka puasa dengan mereka secara kolaboratif bersama Sinar Harian.

“Sebelum ini, kami selalu menyantuni golongan yang memerlukan seperti anak yatim, asnaf, fakir miskin dan orang kurang upaya (OKU).

“Tapi kali ini kami meraikan bersama pasukan polis. Kita lihat sendiri bagaimana mereka masih menjalankan tugas dengan baik walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang demi keselamatan rakyat.

“Dengan keadaan negara yang dilanda pandemik Covid-19, maka kita mengambil inisiatif ini untuk menyantuni golongan barisan hadapan yang penting dalam melindungi negara,” katanya di khemah SJR Tol Gombak di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengurus Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Amilludin berkata, sebanyak 50 pek sumbangan berbentuk baucar dari Pusat Pakaian Hari-Hari bernilai RM50 dan juadah berbuka puasa diagihkan kepada petugas-petugas barisan hadapan.

“Sebanyak lima program telah dilaksanakan setakat hari kesembilan berpuasa daripada 20 program yang dirancang dan mungkin akan ditambah lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Petugas barisan berbuka puasa dengan juadah yang ditaja oleh Pusat Pakaian Hari-Hari dan Sinar Harian di SJR Tol Gombak pada Rabu.
Petugas barisan berbuka puasa dengan juadah yang ditaja oleh Pusat Pakaian Hari-Hari dan Sinar Harian di SJR Tol Gombak pada Rabu.

Beliau berkata, program penyerahan sumbangan sebegini perlu disokong oleh lebih banyak syarikat korporat supaya lebih ramai golongan yang dapat dibantu.

“Penganjuran program sebegini sekurang-kurangnya mampu mempamerkan rasa prihatin masyarakat kepada golongan ini.

“Ini satu program yang sangat baik dan mungkin selepas ini kita akan terus mengadakan program di tempat-tempat lain di seluruh Malaysia pada masa akan datang.

“Saya berharap pihak lain juga bekerjasama untuk membantu barisan hadapan pada bulan Ramadan khususnya, sekurang-kurangnya mereka boleh merasakan keprihatinan masyarakat dan syarikat di luar sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe amat menghargai usaha Pusat Pakaian Hari-Hari dan Sinar Harian yang sudi mengunjungi dan memberikan sumbangan kepada petugas polis di SJR Tol Gombak.

“Inisiatif begini amat membantu kami terus bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab yang penuh dengan cabaran terutamanya ketika sedang berpuasa.

“Dalam keadaan kita masih berperang dengan Covid-19 ini, ramai insan mulia yang berganding bahu untuk memberikan sumbangan dan ia membuatkan kami tidak berasa penat atau lelah ketika menjalankan tugas.

“Bukan juadah dan sumbangan yang kami harapkan sebenarnya, tapi keprihatinan dan sokongan tidak berbelah bahagi menyebabkan kami sentiasa kuat untuk terus melaksanakan tugas,” katanya.