Curi elektrik jadi jutawan kripto

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sikap tamak mahu mengaut keuntungan mudah menerusi aktiviti melombong mata wang kripto tanpa perlu membayar bil elektrik menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit sejak tiga tahun lalu.

Keinginan bergelar ‘jutawan segera’ itu dipercayai tercetus selepas nilai mata wang digital dunia melonjak, menyebabkan pihak sindiket sanggup mencuri bekalan elektrik supaya mesin perlombongan boleh dihidupkan 24 jam.

Menurut Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, kecurian elektrik berpunca daripada aktiviti haram itu meningkat lebih 300 peratus dalam tempoh tiga tahun antara 2018 hingga 2020.

Pada tahun 2018, sebanyak 610 kes kecurian elektrik atau usikan terhadap pepasangan meter dikesan, namun naik mendadak kepada 1,043 kes pada 2019 dan 2,465 pada 2020.Sejak November 2020 hingga 28 Februari lalu sahaja, TNB bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu 144 premis mencuri elektrik untuk melombong bitcoin.

“Kegiatan mencuri elektrik berskala besar itu berpunca daripada sikap tamak sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan tanpa sebarang kos elektrik. “Tindakan mereka menyukarkan usaha pihak pembekal elektrik memberikan bekalan yang stabil demi keselesaan dan keperluan pengguna.

“Di Malaysia, TNB mula mengesan aktiviti mencuri elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin sejak tahun 2018. Kes kecurian elekrik itu meningkat saban tahun selari dengan lonjakan mata wang ini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Nilai pasaran mata wang kripto melepasi AS$1 trilion buat kali pertama Januari lalu dengan nilai bitcoin meningkat lebih empat kali ganda kepada AS$37,000 bagi satu bitcoin dalam tempoh setahun, demikian menurut data daripada CoinGecko.

Dalam pada itu, Wan Nazmy berkata, terdapat pihak yang mencuri elektrik dengan mengusik pepasangan meter atau melakukan penyambungan secara haram.

Artikel Berkaitan:

“Usikan itu menyebabkan bacaan meter elektrik tidak menunjukkan penggunaan elektrik sebenar menyebabkan gangguan elektrik kerana permintaan elektrik di kawasan terbabit melebihi keperluan yang sepatutnya,” ujar beliau.

No Image Caption

Jelasnya, bekalan elektrik di kawasan sekitar akan menjadi tidak stabil dan keselamatan sistem bekalan elektrik juga terganggu.

“Penyambungan elektrik secara haram boleh menyebabkan kerosakan dan kegagalan sistem bekalan elektrik, menyebabkan percikan arka pada pepasangan TNB di peti pembekal dan stesen pencawang masuk. “Akibatnya, bekalan elektrik terputus dan mengganggu kehidupan dan perniagaan pengguna,” katanya.

Ditanya mengenai dalang yang terlibat dalam kes tersebut, Wan Nazmy berkata, majoriti kes kecurian elektrik melombong bitcoin melibatkan pihak tertentu dan bukan individu kerana aktiviti tersebut memerlukan modal besar.

“Mereka perlu ada wang untuk membeli peralatan teknologi maklumat yang mahal harganya, perkakas elekrik untuk menyejukkan peralatan IT, sewaan premis yang kebiasaannya di kedai dua atau tiga tingkat serta pekerja untuk memantau operasi,” ujarnya.

Semalam Sinar Harian melaporkan kes penipuan membabitkan mata wang kripto di negara ini merekodkan jumlah kerugian lebih RM191 juta dengan 1,979 kes dilaporkan dari tahun 2019 hingga Februari lalu.

Lima jenis kes penipuan yang paling banyak dikesan ialah penipuan jual beli dan pelaburan mata wang kripto, pelaburan perlombongan palsu, penggodaman cryptowallet dan ransomware.