Remaja dibelasah gara-gara ekzos motosikal bising

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KLANG - Gara-gara bunyi ekzos motosikal yang bising, seorang remaja dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di kawasan Menara Maju Klang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu berlaku semasa remaja berusia 16 tahun yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss ditahan oleh seorang lelaki di lokasi terbabit.

"Mangsa ditampar dan dipukul. Beberapa rakan lelaki terbabit turut datang dan memukul remaja berkenaan menggunakan kayu serta topi keledar.

"Mangsa menghubungi ayahnya untuk meminta bantuan, namun setelah sampai, ayah mangsa turut dipukul oleh kumpulan terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan remaja berkenaan cedera di badan dan kepala manakala ayahnya luka di tangan.

Susulan itu, sepasukan polis yang diketuai Ketua Polis Balai Klang, Inspektor Ahmad Afiq Rusli menahan enam lelaki berusia 17 hingga 45 tahun yang terlibat dalam kes terbabit kira-kira jam 11 malam di sekitar Klang, keesokan harinya.

"Soal siasat mendapati punca kejadian itu disebabkan remaja terbabit membunyikan ekzos motosikal dengan kuat," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: