X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki ditemui menggigil dalam lumpur paya bakau

Mangsa diangkat ke darat untuk dibawa ke Hospital Kemaman bagi mendapatkan rawatan susulan pada pagi Rabu. - Foto Ihsan bomba
A
A

KEMAMAN - Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap dalam lumpur paya bakau sedalam 0.3 meter di Sungai Kemaman, Kampung Enjin Gergaji di sini pada Rabu.

Mangsa berusia awal 20-an dan hanya berseluar dalam dijumpai terlentang dalam keadaan menggigil akibat kesejukan oleh penduduk kampung yang hendak menangguk udang di lokasi berkenaan.

Difahamkan, individu yang menjumpai mangsa ternampak lambaian tangan mangsa dari jauh yang pada mulanya disangkakan biawak, sebelum menghubungi pasukan bomba.

Ketua BBP Kemaman, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Hasbullah Halipah berkata, seramai lapan anggota bomba termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.46 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi, kelihatan mangsa yang dibaluti lumpur seluruh anggotanya dalam kepenatan dan sedang menggigil mungkin kesejukan.

"Kita sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada mangsa semasa itu kerana dia memang tidak boleh bercakap dan seolah-olah dalam kebingungan serta trauma.

"Melihat keadaan mangsa ketika itu, kita percaya mungkin dia sudah terperangkap di lokasi lebih dua jam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Hasbullah yang merupakan ketua operasi berkata, anggaran jarak antara lokasi mangsa terperangkap dengan kawasan darat adalah lebih kurang 50 meter sahaja.

"Kita dimaklumkan oleh penduduk setempat yang lokasi berkenaan hanya dikunjungi penduduk yang hendak menjalankan aktiviti mencari lokan, udang dan lain-lain hidupan dalam paya bakau.

"Penduduk setempat dan kampung berhampiran turut memberitahu mereka tidak mengenali mangsa. Jadi kita percaya mungkin mangsa adalah orang luar atau kampung lain yang berhampiran," ujarnya.

Jelas Mohd Hasbullah, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dibawa ke Hospital Kemaman bagi rawatan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, identiti sebenar lelaki itu masih belum dikenal pasti kerana mangsa masih tidak sedarkan diri dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kemaman.

"Saya memohon kerjasama kepada orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang ada maklumat mangsa agar tampil ke balai untuk membantu siasatan.

"Saya difahamkan gambar mangsa juga sudah ditularkan di laman sosial selepas penemuannya sejak malam Rabu untuk mencari sesiapa sahaja yang mengenali mangsa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!