Harapan kepada wakil rakyat

Sebahagian wakil rakyat akan dilantik menjadi ahli kabinet dalam kerajaan memerintah dan bertanggungjawab menjalankan tugas untuk memakmurkan negara demi kesejahteraan rakyat.
Sebahagian wakil rakyat akan dilantik menjadi ahli kabinet dalam kerajaan memerintah dan bertanggungjawab menjalankan tugas untuk memakmurkan negara demi kesejahteraan rakyat.
A
A
A

DALAM pilihan raya, calon sama ada daripada parti politik atau calon bebas akan melaungkan janji utama iaitu sekiranya terpilih, mereka akan berkhidmat untuk masyarakat dan memenuhi semua permintaan rakyat.

Sebahagian wakil rakyat akan dilantik menjadi ahli kabinet dalam kerajaan memerintah dan bertanggungjawab menjalankan tugas untuk memakmurkan negara demi kesejahteraan rakyat. Tidak kira sama ada wakil rakyat itu di sebelah kerajaan atau pembangkang, tugas dan tanggungjawab wakil rakyat adalah besar, sebesar harapan rakyat ke atas mereka.

Adalah munasabah bagi rakyat meletakkan harapan tinggi kerana semasa berkempen, calon sentiasa menjanjikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat. Apabila rakyat tidak dapat merasai apa yang dijanjikan, banyaklah permintaan untuk penambahbaikan dan pembaharuan dalam sistem pemilihan wakil rakyat, seolah-olah perubahan dalam sistem pilihan raya dapat mengatasi ketidakpuasan hati rakyat terhadap wakil-wakil mereka di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Sistem pilihan raya di Malaysia, First-Past-the-Post tidak berubah sejak diwujudkan sebelum merdeka. Hasil daripada pilihan raya umum pertama (PRU1) 1959 sehingga PRU14 telah mewujudkan kerajaan sah kerana setiap prosedur dan undang-undang berkaitan pilihan raya dipatuhi terutama oleh pihak pengurusan pilihan raya dan pihak terlibat dalam pilihan raya seperti calon, parti politik, penyokong parti dan lain-lain jentera kerajaan.

Walaupun terdapat insiden dan pertikaian yang berlaku semasa pilihan raya, ia dapat diselesaikan melalui lunas undang-undang dan tidak mengubah keabsahan kerajaan yang ditubuhkan.

Sejak kebelakangan ini, banyak pihak terutama masyarakat dan akademia membincangkan agar sistem pilihan raya di Malaysia dikaji untuk perubahan di atas dasar undang-undang dan sistem pilihan raya kita adalah lapok dan tidak mengikut perubahan semasa.

Ia bermula akibat ketidakpuasan hati masyarakat ke atas perlakuan ahli politik yang seolah-olah tidak mempedulikan kehendak masyarakat, membelakangkan aspirasi pengundi dan mendahulukan kepentingan politik persendirian atau parti masing-masing. Lebih malang, pengundi berasakan tidak mempunyai ruang membuat perubahan sehinggalah pilihan raya akan datang.

Adakah dengan memperkenalkan sistem pilihan raya baharu seperti Alternative Vote or Preferential Voting yang diamalkan di Australia atau Mixed System Proportional seperti di New Zealand dan Jerman, Proportional Representation di Indonesia atau Supplementary Member System yang diguna pakai di Jepun, Rusia dan Itali atau lain-lain sistem akan dapat memuaskan kehendak pengundi di Malaysia?

Artikel Berkaitan:

Adakah sistem pilihan raya atau perlakuan wakil-wakil yang menjadi isu dan keresahan pengundi? Rakyat juga mahukan sistem di mana wakil-wakil yang dipilih bertanggungan kepada pemilih dan bukan kepada parti sepenuhnya. Sekiranya wakil rakyat melakukan sesuatu perkara bercanggah dengan aspirasi rakyat seperti lompat parti atau sebagainya, pemilih harus mempunyai hak untuk memilih wakil lain.

Tiada satu sistem pilihan raya yang sempurna, namun sistem yang baik adalah yang memberi kebebasan kepada rakyat memilih calon yang benar-benar mewakili kepentingan masyarakat dan pengundi boleh memilih parti politik yang benar-benar layak membentuk kerajaan. Lebih penting, pengetahuan pengundi mengenai asas demokrasi dan pendidikan mengenai pilihan raya untuk segenap lapisan masyarakat.

Sebab itulah, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang ditubuhkan kerajaan pada 2018 mencadangkan agar pendidikan sivik dan pilihan raya diberi penekanan khusus oleh kerajaan, selain cadangan sistem pilihan raya alternatif kepada sistem yang ada kini.

*Amerul Muner Mohamad ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Electoral Reform Committee (ERC)